RANTAU PANJANG: Lembu yang diseludup dari negara jiran ke negeri ini, disuntik hormon penggalak bagi menyegerakan tumbesaran dan meningkatkan berat sehingga mencecah 10 kilogram dalam masa dua minggu, sebelum dijual kepada pelanggan.
Perbuatan yang tidak diketahui kesannya ke atas manusia itu, dibuat pihak berkenaan semata-mata, mahu mendapatkan harga lebih tinggi apabila dijual kepada pembeli.
Penyeludup lembu yang enggan namanya disiarkan, mendakwa hormon yang dianggap sebagai vitamin itu, diperoleh dari negara jiran pada harga RM50 sebotol dan boleh digunakan untuk kegunaan lima ekor lembu.
"Ada dua cara diberikan kepada lembu, sama ada melalui minum atau suntik. Jika disuntik, proses tumbesaran lebih cepat berbanding diberi secara minuman.
"Bahan ini meningkatkan selera makan lembu memandangkan persekitaran baharu kerana di negara jiran, kebanyakannya diberi makan rumput kering berbanding di sini, kita memberi rumput basah.
"Jadi itu pentingnya bahan ini kerana sebelum diseludup ke Malaysia, lembu dikurung di sekitar sempadan selama dua minggu menyebabkan berat badan lembu merosot kerana makanan tidak mencukupi," katanya.
Beliau berkata, sebaik lembu berkenaan berjaya diseludup ke negeri ini, ia akan dijaga selama dua minggu terlebih dahulu bagi memastikan beratnya meningkat, sekali gus membolehkan harga lebih tinggi diperoleh.
"Menerusi pemberian vitamin itu, berat lembu berkenaan boleh naik sehingga tujuh tujuh kilogram dalam masa dua minggu sebelum diserahkan kepada pembeli," katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengakui aktiviti penyeludupan lembu di negeri ini, tidak lagi rancak seperti dulu kawalan ketat sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Penyeludup rintis belukar tebal bawa masuk haiwan korban
Kawalan ketat di sempadan negara di negeri ini, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19, mendorong sindiket penyeludupan lembu menukar modus operandi kegiatan mereka.
Berdasarkan modus operandi, sebelum ini penyeludup membawa masuk ternakan seludup itu secara gerombolan, namun menjelang sambutan Aidiladha kali ini, taktik itu diubah kepada pergerakan skala kecil.
Mereka juga tidak lagi menggunakan laluan biasa, sebaliknya merintis belukar tebal sebagai laluan atau lokasi transit lembu dari negara jiran.
Tinjauan bersama Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) terhadap antara lokasi utama penyeludupan lembu iaitu Pangkalan Antah di Jeram Perdah, mendapati belukar tebal di situ sudah dirintis penyeludup hingga boleh dilalui pacuan empat roda.
Dari jalan utama untuk ke pangkalan yang terletak di tebing Sungai Golok itu, penulis dibawa pacuan empat roda untuk perjalanan kira-kira 10 minit dengan laluan mencabar termasuk merentasi anak sungai.
Sepanjang perjalanan itu, beberapa kali kenderaan tersekat akibat kayu besar diletakkan di tengah laluan dipercayai halangan yang dilakukan penyeludup bagi menyukarkan pasukan keselamatan memasuki belukar berkenaan.
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi, berkata walaupun kawalan ketat dilakukan sepanjang PKP, masih berlaku kegiatan penyeludupan lembu memandangkan permintaan tinggi sempena Aidiladha.
Katanya, keuntungan lumayan iaitu seekor lembu dibeli dengan harga RM2,000 di negara jiran boleh dijual pada harga RM4,000 juga mendorong penyeludup mencari jalan membolehkan lembu berkenaan dibawa ke negara ini.
"Namun, kita percaya kemasukan lembu seludup berkurangan tahun ini berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
"Jadi tidak mustahil harga lembu untuk ibadat korban pada Aidiladha menjadi lebih mahal berikutan lembu seludup sukar dibawa masuk," katanya ketika ditemui di sini.
Mengulas lanjut katanya, penyeludup biasanya mengumpul gerombolan lembu di sekitar tebing Sungai Golok di sebelah negara jiran sambil memantau pergerakan pasukan keselamatan negara ini sebelum menyeludup masuk ternakan itu sebaik berpeluang.
Katanya, kegiatan itu akan dilakukan tengah malam sehingga awal pagi atau ketika hujan dengan membawa masuk binatang seludup itu secara berskala kecil.
"Pada masa sama, sudah ada individu yang menunggu di sebelah Rantau Panjang untuk menarik lembu berkenaan di lokasi yang dirasakan selamat.
"Setiap individu dibayar RM30 bagi menarik seekor lembu dalam jarak tertentu dan sepanjang proses penyeludupan lembu, sindiket dipercayai membayar dua atau tiga individu sebelum lembu berkenaan dimuat naik ke dalam lori.
"Di Rantau Panjang sahaja, sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram dikenal pasti aktif untuk kemasukan lembu seludup," katanya.
Katanya, perahu digunakan untuk menarik lembu berkenaan juga tidak memakai enjin bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.
"Setiap tahun penyeludup lembu ini menggunakan modus operandi berbeza bagi mengaburi pihak berkuasa. Namun kita tidak gentar dan berusaha keras bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sempadan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya, berkata tangkapan lembu seludup di sepanjang sempadan Sungai Golok tahun ini, berkurangan kepada 37 ekor bernilai RM120,000 sepanjang tempoh Januari sehingga Julai.
Beliau berkata, jumlah itu jauh berkurangan, berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 359 ekor membabitkan nilai lebih RM1 juta.
Katanya, hanya ada lima kes membabitkan penyeludupan lembu tahun ini, berbanding tahun lalu mencatatkan 22 kes, sekali gus menunjukkan satu impak positif bukti kerja keras agensi penguat kuasa menjalankan tugas menjaga sempadan negara.
"Kita menjangkakan aktiviti seludup lembu lebih aktif pada Aidiladha, namun setakat ini keadaan masih terkawal hasil kerjasama baik dengan agensi lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan operasi sepanjang Sungai Golok.
"Kes sebegini disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang membabitkan kesalahan membawa masuk lembu tanpa permit import yang sah oleh Jabatan MAQIS, selain Sijil Kesihatan Veterinar dari negara asal.
"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Azam berkata, tindakan tegas terus diperketatkan di semua pintu masuk sempadan pada Aidiladha bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.
Sumber : Lembu seludup disuntik hormon
0 Comments