KEPALA BATAS: Dua restoran makanan segera dan sebuah kopitiam diarah tutup selama tujuh hari selepas dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Op Bersepadu Pemantauan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pihak polis bersama Kementerian Kesihatan telah mengadakan pemantauan bermula jam 4 petang bagi memastikan pemilik premis perniagaan mematuhi SOP ditetapkan.
"Pemantauan kali ini memfokus kepada premis restoran makanan segera dan kopitiam yang sering menjadi tumpuan orang ramai.
"Kita mahu memastikan premis berkenaan melaksanakan setiap SOP bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.
"Hasil operasi mendapati tiga premis tidak mematuhi arahan, justeru diberi notis penutupan selama tujuh hari, selain kompaun RM1,000," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Noorzainy berkata, rata-rata SOP yang gagal dipatuhi pemilik restoran makanan segera dan kopitiam terbabit adalah penjarakan fizikal.
Dalam operasi sama, beliau berkata, polis bersama Kementerian Kesihatan turut mengeluarkan enam notis amaran kepada pemilik restoran segera lain.
"Restoran dan kopitiam terbabit menjadi tumpuan orang ramai pada setiap masa, justeru amat berbahaya jika tidak ditangani segera," katanya.
Seramai 22 anggota, termasuk pegawai polis dan Kementerian Kesihatan, terbabit dalam operasi pemantauan hampir empat jam itu.
Sumber : 2 restoran makanan segera, 1 kopitiam diarah tutup 7 hari
0 Comments