PUTRAJAYA: Seramai 282 individu terhenti keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkuat kuasa serta-merta.
Mereka sebelum ini terbabit kumpulan 'Blackout', iaitu gerakan untuk menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika mengumumkan perkara itu berkata notis pemakluman akan disiarkan melalui akhbar, selain dihantar kepada setiap Bahagian BERSATU yang terbabit.
Beliau berkata, tindakan selaras Fasal 10.2.2, 10.2.3 dan 10.3.4 Perlembagaan BERSATU diambil selepas pihaknya menjalankan siasatan terhadap segala aduan yang dikemukakan kepada parti.
"Hari ini, saya akan memberi notis kepada semua berhubung individu diambil tindakan dan digugurkan daripada menjadi ahli BERSATU.
"Saya sudah memaklumkan kepada beberapa media dan akan mengeluarkan senarai nama mereka dalam akhbar, esok.
"Kepada Bahagian, kita akan memberi nama supaya jika ada (individu terbabit) yang menjadi wakil, tidak boleh menghadiri mesyuarat perwakilan Bahagian.
"Begitu juga kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang akan menentukan sama ada mereka boleh hadir dan jika bertanding, nama mereka boleh dipotong sebagai calon," katanya kepada pemberita, hari ini.
Sumber : 282 individu terhenti keahlian BERSATU kuat kuasa serta-merta
0 Comments