KANGAR: Polis membuka tiga sekatan jalan raya (SJR) bagi laluan yang menghala ke Kuala Sanglang yang kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata tiga SJR itu membabitkan jalan utama termasuk jalan yang menghubungkan antara negeri ini dengan negeri Kedah di Kuala Sanglang.
"Antaranya termasuklah Jalan Simpang Empat menghala ke Kuala Sanglang, di simpang tiga Jalan Padang Keria, Jalan Kuala Perlis menghala ke Kuala Sanglang di pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Sanglang.
"SJR turut dibuka Jalan Kuala Sanglang, Kedah ke Pekan Kuala Sanglang berdekatan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun," katanya.
Wari berkata, 20 anggota keselamatan akan ditempatkan di situ bagi mengawal keluar masuk orang awam ke lokasi TEMCO.
Katanya, SJR mungkin akan ditambah berdasarkan situasi dan keadaan semasa.
"Setakat ini hanya tiga sahaja dulu, sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.
Semalam, Perlis mengisytiharkan Kuala Sanglang di mukim Sanglang sebagai lokasi TEMCO bermula malam ini sehingga 9 September depan.
Kerajaan Negeri menerusi satu kenyataan malam tadi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor pertambahan kes COVID-19 yang membabitkan dua kampung di kawasan berkenaan iaitu Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.
Sumber : 3 SJR menghala ke Kuala Sanglang
0 Comments