MUNICH: Pengendali Chelsea Frank Lampard berkata skuad kendaliannya yang dibelenggu kecederaan akan belajar daripada kekalahan 7-1 secara agregat di tangan Bayern Munich pada aksi kelompok 16 Liga Juara-Juara.
Selepas tewas 3-0 di Stamford Bridge pada Februari, Chelsea yang bertandang ke Munich dengan skuad tempang akibat kecederaan, ditundukkan 4-1 oleh Bayern.
"Ia latihan yang baik buat kami untuk berdepan Bayern dan pengalaman mereka di Liga Juara-Juara, dengan kebanyakan pemain kami masih mengharungi musim pertama mereka.
"Saya dapat lihat ke mana hala tuju kami dan saya tahu kami pasti bangkit.
"Jika dibandingkan pengalaman Liga Juara-Juara kami dengan mereka, saya lihat banyak perkara baik dalam pasukan, juga kelemahan yang ditampilkan sepanjang musim ini.
"Ia permulaan sukar buat kami dengan dua gol awal dan keputusan tidak menunjukkan permainan sebenar," kata Lampard.
Pengendali 42 tahun itu, yang menjadi kapten Chelsea ketika menewaskan Bayern pada final Liga Juara-Juara 2012 di Munich, menganggap gergasi Jerman itu adalah pasukan pilihan musim ini.
Chelsea turun tanpa Christian Pulisic, Cesar Azpilicueta, Pedro dan Willian yang cedera, manakala Jorginho dan Marcos Alonso digantung perlawanan. - AFP
Sumber : 'Kelas Eropah' Chelsea berakhir
0 Comments