FAM tiada halangan pasukan beri saham kepada penyokong

KELANA JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tiada halangan sekiranya mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga M) mahu mengambil pendekatan untuk memberi sebahagian saham kepada penyokong sekali gus membolehkan mereka turut menjadi pemilik bersama pasukan atau kelab bola sepak (FC).

Dengan projek penswastaan yang menyaksikan semua persatuan bola sepak (FA) perlu bertukar kepada FC bermula musim hadapan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan cadangan itu boleh dipertimbangkan oleh pasukan namun penyokong perlu memahami obligasi selepas bergelar pemilik bersama pasukan.

Katanya, tiada yang mustahil dalam aspek itu apatah lagi cadangan itu adalah sebahagian daripada pilihan yang boleh diambil pasukan bagi pertukaran FA ke FC namun pemilikan penyokong itu perlu dibuat secara rasmi.

"Kalau ada sejuta penyokong, mungkin mereka boleh melabur menerusi kelab penyokong dan membeli saham dalam pasukan. Tetapi ia terpulang kepada pasukan untuk meneliti struktur domestiknya di mana mungkin keputusan pemegang saham dalam FC mahu memberikan 10 peratus, 20 peratus atau 25 peratus pegangan kepada penyokong.

"Tidak ada masalah untuk perkara ini kerana memang ada sampel sebegitu di negara lain. Ini juga memberi peluang kepada wakil penyokong duduk dalam lembaga pengarah dan memberi pendapat di peringkat tertinggi.

"Ini adalah pemilikan secara bersama namun apabila penyokong ada pemilikan, mereka perlu tahu bahawa mereka bukan setakat menjadi pemilik tetapi aspek lain seperti pelaburan, risiko dan adanya saham dalam pasukan perlu dipertimbangkan," katanya.

Dalam masa sama, Stuart menyatakan FA masih boleh memiliki FC secara sepenuhnya dengan cara menubuhkan syarikat dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun 'outsourcing' sama sekali tidak dibenarkan.

"Kalau FA tiada pelabur buat masa ini, tidak bermakna FA tidak boleh memiliki syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd). Outsourcing tidak dibenarkan kerana ia masih di bawah obligasi FA tetapi apabila FA menubuhkan syarikat, mereka perlu melantik pengarah dan mengasingkan pengurusan daripada FA dan FC.

"Ini bermakna Setiausaha Agung tidak boleh menjadi Pengarah atau Bendahari menjadi Ketua Pegawai Kewangan (CFO). Perlu ada pemisahan dalam pengurusan dan ini adalah peraturannya. Dengan penswastaan, pemilikan penuh FC oleh FA dibenarkan tetapi mengikut beberapa kriteria yang ditetapkan.

"Sebab syarikat perlu ditubuhkan adalah mereka yang berada dalam FC ada akauntabiliti di mana mereka tidak boleh meletak jawatan dan meninggalkan tanggungjawab seperti di persatuan," katanya.

Selain cadangan pemilikan sepenuhnya FC oleh FA dan dimiliki bersama, satu lagi pilihan yang dicadangkan badan induk itu adalah pemisahan sepenuhnya seperti yang dilakukan oleh MISC-MIFA dan PJ City FC.



Sumber : FAM tiada halangan pasukan beri saham kepada penyokong

Post a Comment

0 Comments