SHAH ALAM: Kemelut mengenai isu pengurusan Tabung Haji (TH) dan anak syarikatnya, diyakini berupaya menemui titik noktah menerusi penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Penelitian oleh RCI bagaimanapun harus menetapkan terma rujukan yang betul supaya mencakupi sebarang isu salah laku, penyelewengan dan pecah amanah didalangi mana-mana pihak, tanpa dasar pilih kasih terhadap parti politik tertentu.
Demikian persefahaman dicapai dalam perdebatan hangat tetapi penuh tatasusila antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, dengan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, di sini, malam tadi.
Mujahid berkata, penubuhan RCI itu yang sedang diteliti kerajaan, perlu menekankan beberapa aspek penting.
"RCI itu nanti tidak boleh hanya hendak tengok sama ada proses pemulihan dalam TH ini betul atau tidak. Sebaliknya, kena teliti juga urus niaga, pembelian dan penilaian tidak tepat dalam TH sebelum ini.
"Oleh itu, perlu ada terma rujukan yang tepat sebelum penubuhan RCI mengenai TH," katanya.
Mengemukakan persetujuan sama berhubung penubuhan RCI itu, Abdul Azeez pula menyatakan kesediaan untuk tampil memberi kerjasama terhadap proses siasatan dan mengemukakan bukti berbentuk dokumen berkaitan urusan TH ketika beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi agensi itu dulu.
Sementara menanti penubuhan RCI, beliau mencadangkan supaya rangkaian polemik mengenai TH dihentikan dan tidak terus dijadikan modal politik.
"Isu TH ini biar RCI yang insya-Allah akan ditubuhkan nanti, untuk teliti dan siasat.
"Buat masa ini, marilah kita menghentikan polemik yang selama ini mengganggu TH," katanya.
Sumber : Penubuhan RCI mampu henti kemelut isu TH
0 Comments