
SHAH ALAM: Kualiti rendah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyebabkan polis sukar mengesan suspek yang menconteng mural pemimpin di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 pada Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata pihaknya bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman sedang mencari ruang untuk mengesan suspek kes itu.
"Beberapa faktor yang menyebabkan suspek sukar dikesan antaranya lokasi mural itu yang agak terpencil, gelap dan tidak banyak CCTV di kawasan sekitar.
"Rakaman CCTV yang berkualiti rendah juga menyebabkan kita sukar untuk 'enhance' gambar-gambar pelaku yang terdapat dalam video berkenaan.
"Bagaimanapun, kita ada cara lain untuk mengesan suspek dan serahkan kepada kami untuk tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di program 'Neighourhood Watch' di Bermaz Motor Trading di Glenmarie hari ini.
Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga sudah memanggil beberapa individu untuk membantu dalam siasatan kes berkenaan.
Terdahulu pada 20 Julai, media melaporkan dua kelibat wanita dipercayai suspek menconteng mural pemimpin melalui satu rakaman CCTV.
Rakaman video selama dua minit 20 saat itu menunjukkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong dinding bangunan mural sebelum kelibat dua individu terbabit muncul menconteng mural berkenaan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan Mohd Asri Hamid, 42 yang membongkarkan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh, beliau berkata orang ramai boleh melaporkan kegiatan jenayah tanpa mendedahkan maklumat diri dengan menggunakan Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Katanya, VSP lebih selamat yang mana pengadu boleh berkongsi video ataupun gambar salah laku tanpa perlu menyertakan nama sebenar mereka.
Sumber : Kualiti rakaman conteng mural rendah tapi polis ada cara kesan suspek
0 Comments