
KUALA LUMPUR: FASTsubsea, usaha sama antara FSubsea dan Aker Solutions dan anak syarikat Petronas, PETRONAS Research Sdn Bhd, menandatangani kontrak Projek Industri Bersama untuk membangunkan dan menguji pam bahagian atas bawah laut pelbagai fasa berkos rendah.
Menurut perjanjian itu, PETRONAS Research akan menyokong pembangunan itu dan menguji program, manakala FASTsubsea akan membawa produk ini ke pasaran pada 2022.
Ketua Pegawai Teknologi Aker Solutions, John Macleod dalam kenyataan berkata, penyertaan daripada operator besar seperti PETRONAS adalah pencapaian yang signifikan dengan mengambil kira keadaan industri semasa.
Sementara itu, Pengarah Urusan FASTsubsea, Alexander Fuglesang berkata teknologi FASTsubsea itu membolehkan operator mengekstrak hidrokarbon tambahan dengan lebih cepat daripada infrastruktur yang dipasang dan telaga luar pesisir pantai sedia ada.
Katanya, pengguna akhir tertarik kepada teknologi itu berikutan peningkatan pemulihan dapat dibuat dengan lebih mampan dan dengan pelaburan perbelanjaan modal sehingga 50 peratus lebih rendah berbanding sistem pam bawah laut yang merupakan kunci kepada persekitaran pasaran.
Penyertaan daripada PETRONAS Research adalah tambahan kepada komitmen RM5.1 juta (11 juta NOK) daripada Majlis Penyelidikan Norway dan membolehkan aktiviti-aktiviti kejuruteraan dimulakan segera,
Menurut kenyataan itu, projek berkenaan masih dibuka kepada dua operator seterusnya sebagai rakan Projek Industri Bersama untuk menggalakkan dan mendapat akses lebih pantas kepada teknologi baharu.
-BERNAMA
Sumber : PETRONAS Research sertai pembangunan pam bawah laut baharu
0 Comments