Oleh Hazira Ahmad Zaidi
[email protected]
KOTA BHARU: Ibarat sambil menyelam minum air, seorang aktivis masyarakat di sini memanfaatkan minatnya melakukan aktiviti kembara ke pedalaman, untuk mencari keluarga asnaf yang memerlukan bantuan di kawasan terpencil.
Bagi Amran Ab Rahman, 55, inisiatif itu bertujuan meringankan beban golongan terbabit dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.
"Arwah ayah saya, Ab Rahman Awang @ Abang Man Che Wook atau lebih dikenali Abe Mae dalam kalangan masyarakat, adalah bekas wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periuk, Rantau Panjang, pada tahun 80-an.
"Semangat arwah yang suka membantu orang menjadi inspirasi untuk saya terus menolong dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan," katanya ketika dihubungi.
Justeru, beliau sanggup bergerak secara solo bagi meneruskan aktiviti kebajikan sejak empat tahun lalu apabila pertubuhan alumni disertainya tidak lagi aktif.
Malah, katanya, rakan beliau walaupun sudah tidak aktif turun padang seperti dulu, tetap banyak menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada golongan sasar, termasuk penduduk gugusan pulau di Tumpat.
Beliau berkata, sumbangan terbabit digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan asas dan memberi zakat kepada golongan tidak bernasib baik.
Bapa kepada empat anak berusia antara 18 hingga 23 tahun itu turut mengimbau tragedi 'bah kuning' enam tahun lalu di mana beliau bersama rakan berusaha mencari dana membina rumah pasang siap yang dinamakan 'villa pahala' untuk 33 keluarga di sekitar Manek Urai, Kuala Krai, yang terjejas.
"Membantu golongan memerlukan bukan saja mulia di sisi agama, malah sesama manusia, kita harus memainkan peranan membantu mereka yang daif," katanya yang bekerja sendiri dalam bidang reka dan bina.
Sumber : Manfaatkan minat kembara ke pedalaman untuk bantu golongan susah
0 Comments