WASHINGTON: Tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyekat aplikasi mudah alih China, TikTok dan WeChat berisiko memecah-belahkan internet global dan mewujudkan 'Great Firewall' versi AS.
Kegusaran mengenai ekosistem internet global semakin meningkat minggu ini, susulan perintah eksekutif Trump yang melarang penggunaan aplikasi video popular TikTok dan rangkaian sosial China, WeChat, berikutan arahan kerajaan AS melarang penggunaan aplikasi dan perkhidmatan 'tidak dipercayai' dari China.
Sekatan itu diumumkan berikutan kenyataan Trump menyifatkannya sebagai ancaman keselamatan negara bertentangan dengan model ideal Amerika yang sudah lama dipromosikan iaitu internet terbuka dan boleh mengundang negara lain mengikutinya, kata penganalisis.
Prof Universiti Teknologi Georgia merangkap pengasas Projek Tadbir Urus Internet, Milton Mueller, berkata ia adalah usaha memecah-belahkan internet dan masyarakat maklumat global antara AS-China serta menutup China daripada ekonomi maklumat.
Mueller berkata, ini mewakili langkah 'mewujudkan firewall Barat' serupa dengan penghalang China, yang akan dikuat kuasa menerusi sekatan ekonomi AS di seluruh dunia.
Katanya, ia boleh menjejaskan Silicon Valley yang menguasai dunia dalam talian di luar China kerana 'terdapat banyak kerajaan nasionalis di seluruh dunia boleh membuat tuntutan sama ke atas Apple, Google, Facebook dan Twitter, mendakwa ia menyedut data'.
"Ini akan menjadi musim terbuka bagi sekatan nasionalisme dan peraturan di aplikasi media sosial berkenaan," katanya.
Trump, minggu ini, menerusi ugutannya terhadap WeChat dan TikTok, iaitu dua aplikasi membabitkan ramai pengguna.
Aplikasi mudah alih TikTok dimuat turun sebanyak 175 juta kali di AS dan lebih satu bilion kali seluruh dunia.
WeChat adalah aplikasi mesej, media sosial dan pentas pembayaran elektronik dimiliki syarikat TenCent Holdings dan dilaporkan mempunyai lebih satu bilion pengguna.
Menggunakan kuasa arahan eksekutif, Trump memberi rakyat AS tempoh 45 hari untuk menghentikan urusan dengan platform China, selain menetapkan tarikh akhir penjualan TikTok yang berpotensi secara tekanan terhadap pemiliknya ByteDance kepada Microsoft.
Tindakannya susulan arahan 'Rangkaian Bersih' yang melarang penggunaan aplikasi dan perkhidmatan 'tidak dipercayai' dari China oleh syarikat penerbangan dan dipasang pada peranti di AS. - AFP
Sumber : Sekat aplikasi China burukkan ekosistem internet global
0 Comments