SME Bank bantu 3,000 PKS pasca moratorium

KUALA LUMPUR: SME Bank mengambil langkah menyeluruh untuk membantu kesemua pelanggannya apabila tempoh moratorium tamat pada 30 September ini dengan memperkenalkan Program Kemudahan PKS (SRP).

Program SRP menyasarkan sektor perniagaan seperti pelancongan, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan yang terjejas secara langsung dan tidak langsung akibat pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata program SRP akan memberi manfaat kepada 3,000 pelanggan SME Bank dengan jumlah pembiayaan bernilai lebih RM1.8 bilion.

"Pada masa yang sama, usahawan PKS yang lain juga digalakkan berbincang dengan penyedia pembiayaan masing-masing untuk mendapatkan bantuan pasca moratorium ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sejak awal pandemik ini bermula, SME Bank secara proaktif telah memainkan peranan dalam membantu sektor PKS yang terjejas melalui penangguhan bayaran pembiayaan serta bayaran sewa bagi Kompleks Premis Usahawan.

SME Bank juga, katanya diberi mandat untuk mengagihkan dua dana melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) iaitu Skim SME Go dan Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF) di samping pelbagai dana lain yang diumumkan kerajaan melalui Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Agromakanan, Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES).

Sementara itu, Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, berkata melihat kepada impak pandemik COVID-19 dan seiring dengan usaha SME Bank dalam memastikan kelangsungan perniagaan usahawan PKS, semua pelanggan sedia ada layak untuk memohon bantuan yang ditawarkan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan.

"Dua bentuk bantuan ditawarkan, iaitu Program 'Indulgence' merujuk kepada penangguhan ke atas bayaran prinsipal dan bayaran kadar keuntungan pembiayaan manakala yang kedua ialah program bayaran untuk kadar keuntungan saja," katanya.

Aria menambah, bank akan mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh pembiayaan kepada pelanggan yang layak, bagi membolehkan mereka menguruskan aliran tunai dengan lebih berkesan dan merancang semula pelan perniagaan lebih baik semasa tempoh pemulihan daripada COVID-19.



Sumber : SME Bank bantu 3,000 PKS pasca moratorium

Post a Comment

0 Comments