31 kes baharu COVID-19 direkod hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak 31 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Sabah iaitu 25 kes termasuk 17 kes dalam Kluster Benteng Lahad Datu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes baharu turut dikesan dalam Kluster Bunga di Negeri Sembilan membabitkan kru kapal manakala satu kes lagi dikesan di Kedah.

Katanya, bagi kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara pula, tiga kes dikesan membabitkan seorang warga asing dan dua rakyat tempatan.

Beliau berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 9,946 kes dengan jumlah kes aktif 615 kes.

"Sehingga kini seramai 11 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam hantaran di Facebook sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh individu disahkan sembuh jangkitan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini adalah 9,203 kes bersamaan 92.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut berkata, tiada pertambahan kes kematian dicatatkan setakat ini dan jumlahnya kekal 128 kes atau 1.29 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.



Sumber : 31 kes baharu COVID-19 direkod hari ini

Post a Comment

0 Comments