Malaysia terajui adaptasi IR 4.0 di ASEAN

KUALA LUMPUR: Malaysia adalah peneraju pengadaptasian Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dalam kalangan perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di ASEAN, selepas Singapura.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob, berkata kedudukan itu akan terus kekal jika momentum peralihan operasi perniagaan kepada yang lebih berteraskan pendigitalan diteruskan.

Beliau berkata, Thailand serta Indonesia ketika ini menunjukkan kemajuan yang baik dalam peralihan kepada IR 4.0 dan sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan sektor ekonominya tidak ketinggalan berbanding negara anggota ASEAN lain.

"Kita harus mengekalkan kedudukan ini dan tidak boleh dipintas oleh negara lain. Ini kerana, pendigitalan perniagaan akan menjadi antara faktor penting untuk menarik minat pelabur asing.

"Berdasarkan usaha yang dilaksanakan MITI, kami melihat perniagaan di Malaysia masih kekal dalam landasan betul untuk mencapai sasaran penggunaan IR 4.0. Namun, kita tidak boleh leka dengan apa yang diapai ketika ini," katanya ketika ditemui BH di sini, baru-baru ini.

Norazman berkata, selain usaha yang diterapkan MITI untuk meningkatkan penggunaan IR 4.0 dalam kalangan perniagaan di Malaysia, kementerian turut melihat komitmen syarikat menerusi dewan perniagaan dan perdagangan ke arah pendigitalan perniagaan adalah amat memberangsangkan.

"Kami turut melihat Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyatakan komitmen yang sangat baik untuk IR 4.0. Berdasarkan komitmen yang ditunjukkan komuniti perniagaan, tidak mustahil peralihan ini akan menjadi lebih pantas," katanya.

Beliau berkata, penularan COVID-19 telah menyaksikan peralihan penggunaan teknologi yang mendadak dalam operasi dan rantaian bekalan global syarikat tempatan, sekali gus menyaksikan komuniti perniagaan lebih sedar serta bersedia beralih kepada penggunaan teknologi IR 4.0.

Katanya, pandemik itu telah membawa perubahan yang mendadak kepada model pengoperasian dan perniagaan termasuk sektor pembuatan berlandaskan teknologi IR 4.0 di seluruh dunia.

"Di Malaysia, PKS menjadi lebih sedar akan kepentingan teknologi IR 4.0 dan menyambut baik penerimaan aplikasi teknologi yang dapat mempercepat pemulihan mereka daripada implikasi COVID-19.

"Mereka dilihat tidak mempunyai banyak pilihan untuk berubah bagi memastikan kelangsungan perniagaan pada ketika ini.

"Transformasi PKS adalah tindakan radikal yang amat diperlukan untuk membantu pembangunan industri supaya menjadi lebih produktif dan berdaya saing dalam rantaian nilai global," katanya.

Norazman berkata, peralihan industri kepada IR 4.0 adalah penting bagi memastikan perniagaan tempatan akan dapat terus kekal berdaya saing dengan sokongan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif.

"Kerajaan yakin bahawa dengan pelaksanaan dasar yang berkesan, sektor perkilangan negara dapat terus meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi, memperkukuh produktiviti, menggalakkan daya inovasi dan menambah bilangan tenaga kerja mahir di Malaysia," katanya.



Sumber : Malaysia terajui adaptasi IR 4.0 di ASEAN

Post a Comment

0 Comments