PAPUH lega Arab Saudi bakal buka pintu sempadan

KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) menarik nafas lega, selepas Arab Saudi mengumumkan akan membuka pintu sempadan negara itu pada 1 Januari tahun depan.

Dalam satu kenyataan hari ini, PAPUH menjelaskan pihaknya menyambut baik keputusan Arab Saudi itu selepas ramai ahlinya terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ada (ahli) yang terpaksa menutup sementara operasi. PAPUH berharap kerajaan Malaysia turut melonggarkan syarat serta membuka semula sempadan negara bagi ahli kami, supaya dapat menjalankan perniagaan umrah pada kadar segera," menurut kenyataan itu, hari ini.

Media asing melaporkan Arab Saudi akan melonggarkan sebahagian larangan ke atas penerbangan antarabangsa bermula esok, enam bulan selepas sekatan itu dikuatkuasa akibat penularan COVID-19.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi, yang memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Arab Saudi juga akan mengumumkan perancangan untuk membenarkan jemaah umrah tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahlinya perlu melakukan persediaan dari segi pakej serta menyusun kembali tarikh berlepas.

"Bagi bakal jemaah yang terkesan sepanjang tempoh PKP, diminta menghubungi agensi pelancongan masing-masing, bagi menjadualkan semula tarikh berlepas mereka," katanya. - BERNAMA



Sumber : PAPUH lega Arab Saudi bakal buka pintu sempadan

Post a Comment

0 Comments