Jepun: Suga dipilih Presiden baharu Parti LDP

TOKYO: Parti pemerintah Jepun hari ini memilih Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshihide Suga sebagai pemimpin baharunya, sekali gus bakal menggantikan Shinzo Abe sebagai Perdana Menteri Jepun berikutnya.

Suga memperoleh undi tertinggi dengan memperoleh 377 daripada 534 undi sah yang dilancarkan oleh anggota Parlimen Parti Demokratik Liberal (LDP) dan perwakilan wilayah, jauh meninggalkan kedua-dua pesaingnya.

Berikutan majoriti dimiliki partinya, beliau diharapkan dengan mudah dapat memenangi suara Parlimen pada Rabu ini dan menjadi Perdana Menteri menggantikan Abe, yang meletak jawatan disebabkan faktor kesihatan.

Suga, 71, berjanji untuk meneruskan dasar Abe, iaitu janjinya ketika menerima pencalonan parti itu sebagai pemimpin.

"Dengan krisis COVID-19 ini, kita tidak boleh ada kelompangan politik. Untuk mengatasi krisis dan memberikan kelegaan kepada rakyat, kita perlu meneruskan apa yang sudah dilaksanakan Abe, ini ada misi saya," katanya.

Biarpun belum memperoleh pelantikan rasmi, Suga mendapat sokongan daripada kelompok utama dalam parti pemerintah yang melihat pencalonannya sebagai kestabilan.

LDP membuat pengundian dalam kalangan anggota Parlimen dan tiga perwakilan yang masing-masing daripada 47 wilayah negara itu, menghindari pemilihan meluas membabitkan semua anggota berpangkat yang menurut pegawainya akan mengambil masa yang lama untuk dilakukan.

Format itu dilihat semakin memperkukuhkan kedudukan Suga mengatasi dua pesaingnya, Bekas Menteri Pertahanan, Shigeru Ishiba dan ketua Pembuat Dasar LDP, Fumio Kishida.

Abe, yang memecahkan rekod sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun dengan lebih dari lapan tahun berkuasa selama dua penggal, menolak untuk menyokong satu calon.

Bagaimanapun beliau berjanji untuk menyokong penuh Suga selepas kemenangannya, sambil menyifatkannya seorang yang bekerja keras untuk bangsa dan rakyat dalam peranannya sebagai ketua setiausaha Kabinet.

Penganalisis mengatakan Suga tidak mungkin berpatah balik daripada agenda utama dan calon itu sendiri berkata bahawa usahanya bertujuan memastikan penerusan dasar utama Abe.

Perdana menteri akan menghadapi pelbagai cabaran yang rumit termasuk kemelesetan ekonomi disebabkan COVID-19, Olimpik Tokyo 2020 yang ditunda kepada Julai 2021.

Begitu juga cabaran diplomatik termasuk melindungi perikatan Amerika Syarikat (AS) dan menjalin hubungan dengan China ketika tentangan keras terhadap Beijing selepas COVID-19 dan ketidaktentuan di Hong Kong.

"Sekarang adalah masa yang sukar bagi Jepun kerana AS memberi tekanan kepada China," kata Makoto Iokibe, seorang profesor sejarah politik dan diplomatik di University of Hyogo. - AFP



Sumber : Jepun: Suga dipilih Presiden baharu Parti LDP

Post a Comment

0 Comments