Pelajar kolej kes bunuh bayi dijamin RM30,000

PUTRAJAYA: Seorang pelajar kolej yang dituduh membunuh bayi baru dilahirkan pada Julai lalu, dibebaskan dengan jaminan RM30,000 oleh seorang penjamin hari ini, sementara menunggu kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Ketika membenarkan permohonan jaminan difailkan gadis berusia 18 tahun itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk P.Ravinthran dan Datuk Indera Mohd Sofian Abd Razak turut mengenakan syarat lain terhadapnya.

Gadis itu yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda, diarah melaporkan diri di Balai Polis Air Itam, Pulau Pinang, setiap minggu bermula Sabtu ini, selain dilarang mengganggu saksi kes serta memohon pasport.

Hakim Kamaludin yang mempengerusikan panel itu, berkata jaminan terbabit akan tamat sebaik sahaja kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Tinggi George Town pada 21 Ogos lalu atas tuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan di laluan ke kawasan tempat letak kenderaan aras 4, Sri Ivory Apartment, Bandar Baru Ayer Itam, Georgetown pada 8.25 pagi 10 Julai.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Peguam RSN Rayer memberitahu panel hakim bahawa tertuduh memerlukan penjagaan berterusan daripada keluarganya kerana mengalami kecederaan tidak normal akibat bersalin.

Menurutnya anak guamnya mengalami kesakitan yang teruk dan tidak dapat berjalan.

"Saya memohon mahkamah menunjukkan belas kasihan untuk memberikan jaminan," katanya sambil menambah bahawa Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah membenarkan seorang wanita yang didakwa atas kesalahan tidak boleh dijamin boleh dibebaskan atas jaminan sementara menunggu perbicaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir, membuat bantahan awal dengan menyatakan permohonan jaminan itu pramatang kerana kes belum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk merekodkan pengakuan.

Bapa tertuduh membayar jaminan tersebut. – BERNAMA



Sumber : Pelajar kolej kes bunuh bayi dijamin RM30,000

Post a Comment

0 Comments