COVID-19: Lebih 600 petugas kesihatan dijangkiti - Dr Adham

PUTRAJAYA: Lebih 600 petugas kesihatan di Malaysia telah dijangkiti COVID-19 sejak Februari hingga semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Daripada jumlah itu, 406 adalah petugas di hospital kerajaan, manakala bakinya petugas di hospital swasta dan hospital universiti.

Susulan itu, beliau berkata, antara langkah diambil bagi membantu petugas Kementerian Kesihatan kembali bersemangat selepas dijangkiti wabak itu ialah menyediakan talian sokongan psikososial melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Mereka yang terkesan dengan kes berkaitan psikososial, selain bertemu pakar psikiatri, kami juga akan terus merawat mereka dan tidak membenarkan lagi mereka merawat pesakit COVID-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan 'Putrajaya In Orange' sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020, di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, antara isu diketengahkan petugas kementerian melalui talian sokongan psikososial ialah tekanan kerana berjauhan dengan keluarga, terpaksa mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ketat, keletihan dan isu berkaitan tuntutan bayaran elaun khas COVID-19.

Sementara itu sempena sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2020 pula, tiga bangunan dan dua jambatan di Putrajaya diterangi cahaya lampu jingga selama empat hari, bermula malam ini.

Bangunan itu ialah Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Hotel Zenith, manakala dua jambatan terbabit adalah Jambatan Seri Warisan dan Jambatan Seri Saujana.

Dr Adham berkata, bangunan lain di sekitar Putrajaya pula dinyalakan dengan pencahayaan jenis 'festive mode warm white' pelbagai tona dan spektrum jingga.

"Ini simbol solidariti dan komitmen terhadap keselamatan pesakit. Ia juga sebagai tanda penghargaan kepada semua anggota kesihatan atas jasa mereka dalam memastikan keselamatan pesakit, khususnya ketika pandemik COVID-19," katanya.

Dr Adham berkata, objektif utama sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia tahun ini ialah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan anggota kesihatan yang berkait rapat dengan keselamatan pesakit.

"Anggota kesihatan perlu sihat dari segi fizikal dan mental untuk memastikan keselamatan pesakit terjaga, terutama dalam krisis COVID-19," katanya. – BERNAMA



Sumber : COVID-19: Lebih 600 petugas kesihatan dijangkiti - Dr Adham

Post a Comment

0 Comments