Berhenti rehat kerana pemandu sakit kepala

BUTTERWORTH: "Mereka berempat memang berkawan baik dan merancang ke Pulau Jerejak untuk menghabiskan cuti umum, namun tidak sangka perkara seperti ini berlaku," kata Nor Jamilah Ahmad, 30-an, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha Syed Fathi.

Sharifah Fariesha ditemui maut di dalam kereta dinaiki bersama rakannya, Ayuni Shazwanie Shabri dan pasangan kembar Nor Adilah Mohd Safwan serta Nor Aqilah, masing-masing berusia 21 tahun di kawasan tempat letak kereta di sebuah stesen minyak di Samagagah, Seberang Jaya, awal pagi tadi dipercayai terhidu karbon monoksida.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ayuni Shazwanie dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), manakala dua beradik kembar berkenaan kritikal dan masing-masing dihantar ke Hospital Lumut serta Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Nor Jamilah berkata, ibu Sharifah Fariesha memaklumkan anak saudaranya itu ke Pulau Jerejak bersama tiga rakan baiknya.

"Ketika itu, ibu Sharifah Fariesha menghubungi saya memberitahu anaknya tidak pulang lagi dan tidak membalas mesej WhatsApp atau panggilan telefon.

"Selepas itu, ibunya menghubungi pula tunang anaknya dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa Sharifah Fariesha ditemui tidak sedarkan diri bersama tiga rakannya yang keempat-empat mereka dibawa ke hospital.

"Apabila saya sampai ke hospital, dimaklumkan anak saudara meninggal dunia, ia amat mengejutkan apatah lagi dia adalah satu-satunya anak kepada kakak saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.

Nor Jamilah berkata, beliau difahamkan Nor Aqilah yang memandu kereta jenis Honda Odyssey mengalami sakit kepala dan memberhentikan kenderaan di stesen minyak berkenaan untuk berehat serta membeli makanan.

Katanya, beliau mendapat maklumat itu daripada bapa seorang mangsa yang keluar mencari anaknya itu dan menerima mesej pemandu kereta berkenaan sakit kepala dan berhenti rehat.

"Malam sebelum kejadian kami juga sempat berbual melalui panggilan video dan dia memaklumkan perancangannya untuk keluar bercuti dengan rakan-rakan baiknya."

Berita berkaitan:



Sumber : Berhenti rehat kerana pemandu sakit kepala

Post a Comment

0 Comments