DBKL cadang roboh Rumah Panjang Jalan Ikan Emas

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang merobohkan semua lapan unit Rumah Panjang Jalan Ikan Emas, Cheras, dekat sini, untuk dijadikan kawasan lapang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata ini kerana pihaknya tidak bercadang membaik pulih empat unit rumah itu yang terjejas teruk akibat kebakaran pada awal pagi semalam.

"Insya-Allah, kita bercadang merobohkannya dan meminta semua penduduk berpindah, kemudian kita akan ratakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi dan mangsa kebakaran itu, di sini, semalam.

Nor Hisham berkata, semua penduduk di rumah panjang berkenaan akan ditawarkan unit di Perumahan Awam (PA) atau Program Perumahan Rakyat (PPR) berdekatan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, empat unit rumah panjang itu yang didiami empat keluarga dengan keseluruhan isi rumah 20 orang, musnah dalam kebakaran.

Terdahulu, Nor Hisham meluangkan masa selama 30 minit meninjau lokasi dan mangsa kebakaran yang ditempatkan sementara di Dewan Komuniti Perumahan Awam Seri Pulau Pinang DBKL sebelum berpindah ke penempatan baharu di PA dan PPR apabila segala urusan berkaitan selesai.

Setiap keluarga yang terjejas akibat kebakaran itu menerima bantuan berjumlah RM500 masing-masing daripada DBKL dan Yayasan Wilayah Persekutuan, selain barangan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 5 Bandar Tun Razak, Sanah Manap, menyambut baik cadangan DBKL demi keselamatan penduduk dan akan mengadakan mesyuarat bersama persatuan penduduk bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Biasanya, apa saja yang baik, kita akan ikut. Lagipun usia rumah panjang ini sudah terlalu lama, lebih 30 tahun dan memang sangat berisiko untuk kejadian sama berulang," katanya. – BERNAMA



Sumber : DBKL cadang roboh Rumah Panjang Jalan Ikan Emas

Post a Comment

0 Comments