Dua beranak diami rumah usang tidak berdinding

KUBANG PASU: Kedaifan hidup seorang awak-awak nelayan Kampung Tepi Laut dekat Ayer Hitam di sini, memaksa dia dan anak perempuannya mendiami sebuah rumah usang dengan sebahagiannya tidak berdinding sejak 30 tahun lalu.

Nelayan, Morat Ibrahim, 66, berkata rumah itu dibina atas tanah pusaka arwah bapanya dan hanya mempunyai sebuah bilik untuk kegunaan anak bongsunya, Nurul Hidayah, 19.

"Saya tidak mampu membaik pulih rumah ini kerana pendapatan sebagai awak-awak hanyalah kira-kira RM500 sebulan. Saya hanya menutup ruang bahagian ruang tamu dan dapur dengan jaring plastik sahaja.

"Bumbung rumah juga banyak berlubang di sana sini termasuk dalam bilik anak, jadi kami terpaksa menadah air hujan dengan besen setiap kali hujan lebat," kata bapa kepada tiga orang anak ini.

Bercerita lanjut, Morat berkata, dia terpaksa mengutip kayu terpakai untuk menampal bahagian lantai rumahnya yang reput dimakan anai-anai.

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia terpaksa menumpang bekalan air dan elektrik atas ihsan daripada adiknya.

"Untuk mengisi perut kami dua beranak, dengan kudrat yang ada saya mungkin boleh cari, tetapi untuk membina sebuah rumah saya tidak mampu.

"Jadi saya sangat berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami kerana saya juga ingin berikan keselesaan kepada anak perempuan saya," katanya yang berpisah dengan isteri 10 tahun lalu.

Orang ramai yang berhasrat membantu Morat, boleh menghubungi beliau menerusi talian 012-4258784.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim, mengakui pihaknya sudah menerima maklumat berkaitan kesusahan dihadapi dua beranak itu dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Kita terima banyak permohonan untuk membaiki rumah dan setakat ini kita telah mengeluarkan peruntukan tertentu untuk membaiki rumah secara gotong-royong," katanya ketika dihubungi.



Sumber : Dua beranak diami rumah usang tidak berdinding

Post a Comment

0 Comments