Top Glove catat keuntungan luar biasa

SHAH ALAM: Top Glove Corporation Bhd mencatatkan keputusan kewangan luar biasa, apabila keuntungannya melonjak 417 peratus kepada RM1.9 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.

Ia dipacu peningkatan ketara dalam permintaan global terhadap sarung tangan susulan penularan COVID-19.

Pendapatannya dalam tahun dikaji juga mencatatkan paras rekod baharu sebanyak RM7.24 bilion, meningkat 51 peratus berbanding RM4.80 bilion sebelumnya.

Bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2020, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu turut mencatatkan prestasi cemerlang dengan pendapatan jualan luar biasa sebanyak RM3.11 bilion, meningkat 162 peratus berbanding suku sama 2019.

Sementara itu, keuntungannya dalam suku dikaji berada pada paras RM1.33 bilion, yang mana 18 kali lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Berikutan keputusan kewangan cemerlang itu, Lembaga Pengarah Top Glove mengisytiharkan dividen akhir 8.5 sen sesaham, sekali gus menjadikan dividen bagi keseluruhan tahun kewangan 2020 kepada 11.8 sen, meningkat 9.3 sen atau 373 peratus berbanding tahun kewangan 2019.

Top Glove berkata, pertumbuhan permintaan sangat tinggi terutama di Asia, Eropah Barat dan Eropah Timur yang masing-masing meningkat sebanyak 110 peratus, 73 peratus dan 64 peratus pada suku keempat lalu.

Ia berkata, permintaan paling tinggi ialah untuk sarung tangan nitril yang meningkat sebanyak 31 peratus, sementara sarung tangan getah asli mencatatkan pertumbuhan tujuh peratus.

Permintaan yang tinggi itu menjadikan purata harga jualan (ASP) juga meningkat, katanya.

Mengulas mengenai prestasi mengagumkan itu, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai, berkata syarikat sangat gembira dapat mencatatkan keputusan yang kukuh, sekali gus berada dalam kedudukan utuh untuk membantu menyelamatkan serta melindungi rakyat Malaysia dan dunia dalam waktu yang kritikal ini.

Beliau berkata, prestasi yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini itu menandakan keberkesanan inisiatif kemajuan dipacu teknologi yang berterusan, yang bertumpu dalam kualiti dan kecekapan kos, yang membolehkan pihaknya memenuhi peningkatan dalam permintaan sarung tangan.

"Kami juga menghargai pencapaian yang memberangsangkan ini kepada 21,000 pekerja, yang terus melakukan terbaik untuk memastikan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan tanpa gangguan, walaupun banyak cabaran operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan.

Top Glove akan terus meningkatkan kapasitinya bagi memastikan ia mampu memenuhi permintaan sarung tangan global, yang dijangka berkembang dari paras pra-COVID-19 sekitar kira-kira 10 peratus setahun kepada kira-kira 15 peratus setahun bagi pasca COVID-19.

Ia berkata, kilang pertamanya di Vietnam, F41 dijangka beroperasi pada Oktober 2020, dengan kapasiti pengeluaran permulaan kira-kira 2.4 bilion sarung tangan daripada 10 barisan pengeluarannya.

Top Glove juga memperuntukkan RM8 bilion bagi perbelanjaan modal (Capex) untuk enam tahun akan datang dari tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2026, yang menyediakannya kapasiti tambahan 100 bilion sarung tangan.

Ia berkata, Capex itu akan dilabur dalam kapasiti baharu, meningkatkan kemudahan pengeluaran sedia ada, kilang pensterilan gamma, tanah simpanan untuk pengembangan masa depan, pendigitalan dan kemajuan Industri 4.0 kepada kemudahan pekerjanya.



Sumber : Top Glove catat keuntungan luar biasa

Post a Comment

0 Comments