Separuh ditahan semalam terbabit aktiviti pub, kelab malam - Ismail Sabri

Oleh Rafidah Mat Ruzki

[email protected]

PUTRAJAYA: Lebih separuh daripada yang ditahan dan dikenakan tindakan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah berkaitan kesalahan menyertai aktiviti di pub dan kelab malam yang masih tersenarai sebagai kegiatan dilarang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata seramai 292 individu daripada 584 yang ditahan semalam terdiri daripada mereka yang menyertai aktiviti dalam pub dan kelab malam manakala 224 tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Semalam, PDRM menahan 584 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Daripada jumlah itu, seramai 568 individu telah dikompaun manakala 16 individu direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub atau kelab malam (292), penjarakan fizikal (224), ingkar perintah PKP Diperketatkan (18), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (17), tidak memakai pelitup muka (14), menceroboh kawasan larangan (13), dan premis beroperasi lebih masa (enam)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM juga menjalankan sebanyak 57,117 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sebanyak 2,713 Pasukan Pematuhan membabitkan 12,227 anggota membuat pemantauan di 3,838 pasar raya; 5,022 restoran serta 1,363 penjaja; 1,029 kilang, 3,541 bank dan 3,541 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau sebanyak 1,052 terminal pengangkutan darat, 205 terminal pengangkutan air serta 88 terminal pengangkutan udara," katanya.



Sumber : Separuh ditahan semalam terbabit aktiviti pub, kelab malam - Ismail Sabri

Post a Comment

0 Comments