Kes COVID-19 global melepasi 30 juta

PARIS: Jumlah kes COVID-19 yang didaftarkan di seluruh dunia sudah meningkat melebihi 30 juta setakat ini manakala kadar kematian semakin menghampiri angka sejuta.

Petunjuk suram itu muncul ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap kadar penularan yang membimbangkan COVID-19 di seluruh Eropah.

Bagaimanapun, data yang dikumpulkan oleh AFP daripada pihak berkuasa dan maklumat WHO itu mungkin hanya menggambarkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar.

Ini berikutan kebanyakan negara hanya membuat ujian ke atas mereka yang mempunyai gejala atau menghidap jangkitan serius.

Setakat ini, 949,702 maut akibat COVID-19 sejak virs itu mula dikesan di Wuhan, China hujung tahun lalu manakala jumlah jangkitan terkini ialah 30,310,530 kes.

Amerika Syarikat (AS) mencatatkan angka tertinggi dunia dengan 6,650,570 kes dan 197,364 kematian, diikuti India (5,118,253 jangkitan dan 83,198 kematian) serta Brazil dengan 4,419,083 kes dan 134,106 kematian.

Rentak pandemik bagaimanapun tampak stabil pada peringkat global sejak pertengahan Julai lalu dengan sejuta kes baharu muncul setiap empat hari.

Ia mengambil masa selama 94 hari untuk mencapai sejuta jangkitan dan kemudian 86 hari lagi sehingga jumlah kes melebihi 10 juta pada 28 Jun lalu sebelum jumlah jangkitan meningkat tiga kali ganda sejak itu.

Dalam seminggu ini, Asia mencatatkan 742,286 kes jangkitan baharu, di mana lebih daripada 80 peratus daripadanya direkodkan di India.

Amerika Latin dan Caribbean berada di kedudukan berikutnya iaitu sebanyak 493,120 kes, diikuti Eropah (327,524 kes), Kanada dan AS (273,339 kes), Asia Barat (111,986 kes), Afrika (52,584 kes) dan Oceania (548 kes).

Amerika Latin merekodkan 8,484,443 jangkitan dan 316,827 kematian, diikuti Asia (6,861,965 kes dan 120,334 kematian).

Kanada dan AS mempunyai hampir 6.8 juta kes dan 206,602 kematian, sementara Eropah merekodkan 4,700,387 jangkitan dan 223,849 kematian manakala Asia Barat mencatatkan 1,750,232 kes dan 41,254 kematian.

Afrika pula merekodkan 1,381,036 kes dan 33,324 kematian diikuti oleh Oceania dengan 30,890 jangkitan dan 896 kematian.

Sementara itu, India mencatatkan jumlah jangkitan baharu tertinggi dalam tempoh seminggu ini iaitu sebanyak 650,231 kes, diikuti oleh Kanada dan AS (267,995 kes), Brazil (221,194 kes), Argentina (76,719 kes) dan Sepanyol (70,981 kes).

Jumlah kes baharu meningkat 39 peratus di United Kingdom pada minggu lalu, Kanada (22 peratus), Perancis (19 peratus), Brazil (11 peratus), AS (9 peratus) dan India (lapan peratus). -AFP



Sumber : Kes COVID-19 global melepasi 30 juta

Post a Comment

0 Comments