WHO desak kepentingan barisan hadapan menentang COVID-19 dibela

GENEVA: Terlalu ramai doktor dan jururawat menjadi mangsa dalam perang menentang COVID-19, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Justeru, badan dunia semalam itu melancarkan piagam yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan membela kebajikan pekerja kesihatan.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, pandemik terbabit mendedahkan pekerja kesihatan dan keluarga mereka kepada tahap risiko yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Meskipun krisis COVID-19 membawa kesan yang teruk dalam kalangan penduduk dunia, data kebanyakan negara menunjukkan sebilangan besar pekerja kesihatan dijangkiti pada kadar yang jauh lebih tinggi berbanding masyarakat awam.

Ini berikutan pekerja kesihatan mewakili kurang tiga peratus kepadatan pendudukan di kebanyakan negara dan kurang dua peratus di negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Bagaimanapun, golongan itu menyumbang sekitar 14 peratus daripada semua kes COVID-19 yang dilaporkan kepada WHO, malah di beberapa negara, peratusannya mencapai hingga 35 peratus.

Semalam, Majlis Jururawat Antarabangsa mendedahkan, ribuan jururawat berkemungkinan besar terkorban akibat wabak itu, dengan data dari 44 negara menunjukkan 1,097 kematian pada pertengahan Ogos.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pandemik COVID-19 mengingatkan betapa pentingnya tanggungjawab dan pengorbanan pekerja kesihatan untuk menghapuskan penderitaan serta menyelamatkan nyawa.

"Kita semua terhutang budi kepada pekerja kesihatan, bukan hanya kerana mereka merawat pesakit tetapi kerana mereka mempertaruhkan nyawa mereka sendiri ketika bertugas," katanya.

Tambah beliau, risiko bukan hanya fizikal tetapi mereka menghadapi 'tahap tekanan psikologi luar biasa' berikutan perlu bertugas lebih lama, menghabiskan berjam-jam melawan COVID-19 dan menghadapi stigma ketakutan mereka akan dijangkiti.

Banyak juga yang hidup terpisah dari keluarga mereka dan menghadapi stigma sosial di tengah-tengah ketakutan dalam kalangan masyarakat setempat bahawa mereka membawa virus itu.

Ketegangan ini meningkatkan kemurungan kalangan pegawai profesional perubatan, yang lebih berisiko membunuh diri berbanding masyarakat awam di sejumlah negara sebelum munculnya wabak terbabit.

Menurut WHO, seorang daripada empat pekerja penjagaan kesihatan yang ditemubual dalam satu kajian baru-baru ini, berkata mereka menghadapi masalah kemurungan dan kebimbangan di sebalik pandemik.

Selain itu, tidak seorang daripada tiga kakitangan perubatan mengakui mereka menderita akibat insomnia atau tidak dapat tidur.

Dalam piagamnya yang disampaikan semalam, WHO menekankan tanggungjawab undang-undang dan moral yang harus dimiliki kerajaan untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja kesihatan.

Piagam itu antara lain menyeru negara membangunkan program yang melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja perubatan dengan lebih baik serta menggabungkannya dengan dasar keselamatan pesakit.

Ia juga menuntut standard yang lebih baik untuk melindungi pekerja kesihatan daripada keganasan di tempat kerja dan meningkatkan akses kepada sokongan kesihatan mental.

Selain itu, ia menuntut standard minimum keselamatan pesakit, pencegahan dan kawalan jangkitan, serta keselamatan pekerjaan dilaksanakan di semua kemudahan penjagaan kesihatan.

Katanya, akses kepada peralatan perlindungan diri (PPE), serta latihan mencukupi mengenai cara menggunakan peralatan itu dengan selamat juga perlu jaminan.

"Tiada negara, hospital atau klinik yang dapat menjaga keselamatan pesakitnya kecuali jika pekerja kesihatannya selamat," katanya. - AFP



Sumber : WHO desak kepentingan barisan hadapan menentang COVID-19 dibela

Post a Comment

0 Comments