Malaysia tidak akan terburu-buru sertai COVAX

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan terburu-buru menyertai pelan penyelarasan yang dikenali COVAX meskipun sudah disertai 76 negara antaranya Jepun, Jerman dan Norway setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Malaysia berpendirian tidak mahu tergesa-gesa menyertai pelan terbabit berikutan perlu mempertimbangkan beberapa perkara termasuk pendekatan berdasarkan sains diplomasi membabitkan pembangunan vaksin dari negara luar.

"Ini kerana kita perlu melihat keberkesanan dan memastikan vaksin itu selamat kerana ia perkara utama.

"Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) atau dikenali sebagai Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) juga akan menilai sama ada Malaysia wajar menyertai atau tidak pelan COVAX itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penyerahan projek Klinik Kesihatan Jenis 2 di Klinik Kesihatan Batu Muda di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Ir Razdwan Kasim dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Klinik kesihatan yang disiapkan dengan kos RM20.9 juta itu mempunyai satu blok klinik kesihatan dua tingkat adalah kemudahan klinik ke-13 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mampu menampung pesakit seramai 500 hingga 800 orang sehari.

Dr Adham berkata, kementerian tidak akan terburu-buru berikutan keadaan COVID-19 di negara ini semakin baik.

"Kita akan terburu-buru dan akan melihat perkara ini, lagipun dengan perkembangan baik COVID-19 di negara ini meskipun tanpa vaksin, kita sudah boleh melandaikan lekuk hampir satu digit ketika ini.

"Kita mahu memberi tumpuan kes import dalam kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

"Kita akan menjalankan ujian sebaik mereka tiba di pintu sempadan masuk antarabangsa dan berharap dengan ujian ini kita dapat membendung penularan masuk melalui import, selain usaha kerajaan menyekat kemasukan daripada beberapa negara luar seperti diumumkan Menteri (Kanan) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," katanya.

Baru-baru ini, sebanyak 76 negara kaya dilaporkan komited untuk menyertai pelan COVAX diketuai bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan untuk membantu pembelian dan edaran bekalan yang lebih bersifat adil.

COVAX kini disertai Jepun, Jerman, Norway dan lebih 70 negara lain yang bersetuju secara prinsip bagi mendapatkan vaksin COVID-19 untuk rakyat mereka.

Selain itu, pihak penyelaras Covax juga sedang mengadakan rundingan dengan China sama ada negara itu turut sama ingin menyertai pelan terbabit.

Pelan Covax yang turut diketuai oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI), WHO dan Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), dibentuk bagi mencegah negara daripada membolot vaksin COVID-19 di pasaran, selain memfokuskan untuk mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko tinggi.



Sumber : Malaysia tidak akan terburu-buru sertai COVAX

Post a Comment

0 Comments