KUALA LUMPUR: Persaraaan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi disifatkan satu 'kerugian' buat industri sukan tanah air namun keputusan dilakukan atlet tenpin boling negara itu harus diterima secara positif oleh semua pihak.
Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, secara peribadi berkata, Syaidatul Afifah masih berada di tahap prestasi terbaik selain tenpin sentiasa menjadi sukan keutamaan yang menyumbang pingat di peringkat antarabangsa.
"Umumnya satu kerugian buat negara kerana dia masih berada di tahap prestasi terbaiknya. Selain itu, boling ini adalah satu sukan keutamaan yang sentiasa menyumbang (pingat) di peringkat antarabangsa. Cuma sukan ini berdasarkan prestasi semasa.
"Bagusnya boling ini ramai pemain. Kalau seorang pemain itu berada di luar prestasinya, ramai pengganti tetapi kita perlu menghormati keputusan dilakukan Syaidatul Afifah. Atlet datang dan pergi dan kita perlu menghormati keputusannya, apatah lagi dia sudah banyak mengorbankan masa dan tenaga.
"Selama dalam pasukan, saya tidak pernah mendengar sebarang isu mengenainya," kata Zolkples ketika diminta mengulas mengenai pengumuman persaraan dilakukan Syaidatul Afifah yang mengejutkan industri sukan tanah air, kelmarin.
"Kita perlu bergerak ke depan dan saya secara peribadi mengucapkan selamat maju jaya, terima kasih atas sumbangannya dan semoga dia berjaya dalam bidang yang akan diceburinya nanti."
Syaidatul Afifah dalam sidang media khas mengenai persaraannya berkata, dia tidak menyesal dengan keputusannya meninggalkan skuad kebangsaan selepas 11 tahun mewakili negara.
Atlet berusia 29 tahun itu berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi memberi fokus kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depannya.
"Keputusan ini untuk menentukan hala tuju hidup saya. Saya tidak cakap sukan boling tidak ada masa depan tapi cukup untuk setakat 11 tahun. Daripada sukan boling orang kenal saya.
"Sudah tiba masa saya memikirkan mengenai kerjaya yang lebih stabil. Luar sana tempat yang lebih menjamin masa depan saya. Saya berani untuk cuba banyak bidang.
"Jika sebelum ini saya dapat tawaran kerja tapi disebabkan komitmen sebagai atlet kebangsaan dan negara, saya ambil keputusan untuk tolak tawaran berkenaan kerana terikat dengan latihan," katanya.
Antara pencapaian terbaik Syaidatul Afifah adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.
Sumber : Persaraan Syaidatul Afifah satu kerugian
0 Comments