Perlis usir PATI bina penempatan haram

KANGAR: Perlis akan mengusir penceroboh atau pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didapati membina penempatan haram di atas tanah kerajaan negeri.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Azlan Man, berkata tindakan itu bagi memastikan negeri ini tidak diklasifikasikan sebagai tempat kedua bagi PATI melarikan diri.

"Ya, memang tindakan tegas seperti notis pengosongan akan dikenakan jika mereka didapati menceroboh tanah kerajaan dan membina penempatan haram.

"Ketika ini kita sedang berbincang supaya beberapa agensi di dalam negeri diberikan kuasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan seperti yang dilakukan polis.

"Ada beberapa agensi hanya memiliki kuasa mengeluarkan lesen tertentu saja tanpa ada kuasa penguatkuasaan lebih tegas," katanya ketika ditemui di Pejabat Menteri Besar Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu terdapat PATI daripada Bukit Malut, Langkawi, dikesan mendiami beberapa kawasan tertentu di Kuala Perlis.

Azlan berkata, bagaimanapun pihaknya perlu menilai terlebih dahulu status individu di penempatan berkenaan sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

"Ada penduduk dari Bukit Malut ini mempunyai MyKad dan mereka ini jika dilihat adalah berketurunan Melayu Kedah, maka untuk mengklasifikasi mereka sebagai PATI sepenuhnya adalah tidak patut.

"Jika mereka didapati melakukan kesalahan jenayah, memang tindakan sewajarnya patut diambil.

"Cuma apa yang berlaku kebelakangan ini apabila mereka dikaitkan dengan isu etnik Rohingya. Saya tak nafi memang ada sebahagian penduduk melindungi mereka, bukan di Kuala Perlis saja, di kawasan lain juga ada," katanya.

Azlan berkata, kesilapan generasi kini adalah membiarkan pihak ketiga atau ejen yang tidak bertanggungjawab menjual atau menyewakan rumah pusaka kepada pihak yang tidak dikenali termasuk PATI.

Khamis lalu, polis mendedahkan menerima maklumat ada PATI dari Bukit Malut, Langkawi melarikan diri ke Kuala Perlis dan mendiami penempatan di persisiran pantai sebagai usaha melarikan diri daripada pihak berkuasa.



Sumber : Perlis usir PATI bina penempatan haram

Post a Comment

0 Comments