Pijak kelapa diproses, mi dibiarkan di atas lantai

TASEK GELUGOR: Meloyakan! Itu yang dapat digambarkan ketika serbuan di sebuah kilang tanpa lesen yang memproses kelapa termasuk untuk dijadikan kerisik di Kampung Selamat, di sini.

Ketika serbuan itu yang dilakukan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP), penguat kuasa mendapati seorang seorang pekerjanya memijak kelapa yang dikisar sebelum dijemur di kawasan yang ada anjing.

Selain itu, dalam serbuan di sebuah kilang memproses mi sua, pula pihak berkuasa mendapati pekerjanya tidak memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap dan membiarkan produk yang siap dijual kepada pengguna bersepah di atas lantai dan dihurung lalat.

Itu gambaran ketika penulis menyertai Op Tegar itu hari ini.

Dua kilang memproses makanan itu diarah tutup selama 14 hari kerana tidak mematuhi prosedur kebersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya mengadakan intipan sejak dua minggu lalu terhadap dua kilang yang beroperasi tanpa lesen itu.

"Hasil pemeriksaan di kilang memproses mi sua mendapati ia bukan sahaja terletak berhampiran kandang babi, namun pemiliknya didapati tidak mengendahkan kebersihan apabila membiarkan mi yang berselerak dan bertaburan di atas lantai yang kotor dan dipenuhi lalat hingga ia boleh menyebabkan berlakunya pencemaran makanan.

"Selain itu, siasatan lanjut kemudian mengesahkan kilang itu pernah diperiksa pada 2012 dan sehingga kini pemiliknya masih tidak memiliki lesen walaupun beroperasi untuk tempoh yang agak lama," katanya selepas operasi itu.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid menunjukkan mi sua yang diproses sebuah kilang yang mengabaikan kebersihan - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd Wazir Khalid menunjukkan mi sua yang diproses sebuah kilang yang mengabaikan kebersihan - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, kilang memproses kelapa juga sudah lama beroperasi tanpa lesen dengan menggaji pekerja asing yang tidak memiliki suntikan vaksin anti-tifoid.

"Ketika tiba untuk pemeriksaan didapati seorang pekerja sedang memijak isi kelapa yang sudah diproses untuk dijadikan kerisik.

"Pemeriksaan sekitar kilang itu mendapati keadaannya sangat kotor dan berbau busuk bahkan kedudukan tandas pekerja pula bersebelahan dengan longgokan kelapa yang sudah dikupas selain menggunakan sumber air yang sama iaitu untuk tandas dan membersihkan isi kelapa.

"Isi kelapa yang siap dikopek pula dikatakan dihantar ke pasar berdekatan di seluruh negeri ini sebelum diproses menjadi santan atau kerisik (oleh peniaga)," katanya.

Dalam perkembangan lain, sebuah kedai runcit turut diperiksa dan diarah tutup berikutan tidak mematuhi syarat kebersihan.

Secara keseluruhannya, Jabatan Kesihatan mengeluarkan 16 kompaun berjumlah sehingga RM20,000 terhadap ketiga-tiga premis berkenaan.

MBSP pula mengeluarkan dua notis bersama tiga kompaun bernilai RM500 terhadap pemilik premis berkenaan.



Sumber : Pijak kelapa diproses, mi dibiarkan di atas lantai

Post a Comment

0 Comments