Agong titah semua ahli parlimen sokong Belanjawan 2021

Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Dewan Rakyat 6 Nov ini.

Dalam kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda menekankan pentingnya belanjawan berkenaan dalam menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Al-Sultan Abdullah menegaskan bahawa Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di Parlimen pada masa yang terdekat, adalah amat penting kepada kerajaan dan pihak-pihak berkuasa, khususnya para petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha-usaha membendung dan menangani ancaman wabak ini dari terus merebak.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menyeru ahli-ahli Dewan Rakyat menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan,” kata kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas menerima menghadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat prakabinet di Istana Negara, hari ini.

Dalam sesi menghadap yang berlangsung lebih satu jam dari 8.00 pagi ini, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima taklimat ringkas berkenaan Belanjawan 2021 yang akan dibentang di Parlimen pada 6 November.

Baginda menyatakan harapan agar Belanjawan 2021 memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan Covid-19.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Fadil berkata baginda turut mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi masing-masing akan merugikan negara.

Ia hanya menjadikan rakyat sebagai mangsa pada ketika negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman wabak Covid-19 ini, titah baginda.

Kenyataan itu hadir empat hari selepas Agong menolak memberi perkenan permohonan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat bagi menangani Covid-19.

Cadangan darurat dikemukakan Muhyiddin dilihat pengkritiknya sebagai usaha mempertahankan kerajaan PN dan kedudukannya sebagai perdana menteri selepas timbul spekulasi mengatakan ada pemimpin Umno yang mungkin beralih sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai sokongan majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan baru dan menggantikan PN.

Sekiranya Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti di parlimen, ia kemungkinan ditunjukkan dalam Undian Rang Undang-Undang Belanjawan 2021, yang sekiranya gagal diluluskan akan menyebabkan perdana menteri dan kerajaan jatuh.

Bagaimanapun, susulan keputusan Agong, Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat dua hari lalu dan memutuskan akan kekal menyokong Muhyiddin dan menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Sementara pemimpin parti politik pembangkang kini turut memberi gambaran akan menyokong Belanjawan 2021 bagi menangani Covid-19.

The post Agong titah semua ahli parlimen sokong Belanjawan 2021 first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments