Polis sampaikan derma pada ibu mencuri kerana anak lapar, sakit

Mencuri itu satu jenayah, tetapi untuk menghukum keluarga miskin yang sedang kelaparan juga adalah sesuatu yang tidak betul.

Itu kata-kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal, yang turun padang membantu seorang ibu dalam kesusahan yang ditangkap mencuri Koolfever dan makanan untuk anak-anaknya.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Polis itu, dia dimaklumkan semalam bahawa polis daerah menerima laporan kecurian tersebut yang berlaku di sebuah pasar raya.

Bagaimanapun, katanya, ada sesuatu pada kes berkenaan yang menggangu fikirannya.

Suspek ditahan kerana disyaki mencuri kek pandan, sosej dan dua pek Kool Fever untuk anak-anaknya.

“Jadi saya pun berasa terpanggil, untuk pergi berjumpalah dengan wanita ini. Saya percaya dia ada masalah, kalau tidak dia takkan buat perkara-perkara macam itu,” katanya pagi tadi.

Nik Ezanee bercakap menerusi siaran langsung Facebook di laman Facebook Polis Daerah Petaling Jaya, memaparkan dia dan sekumpulan pegawai pergi melawat keluarga suspek di sebuah flat kos rendah di daerah berkenaan.

Polis membawa bersama bakul hadiah dan sebungkus beras daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain beberapa barangan keperluan untuk keluarga itu.

Tidak ketinggalan, beberapa pek Kool Fever turut disumbangkan.

Kehadiran mereka menerima sambutan hangat daripada keluarga itu, terutamanya wanita dengan tiga anak yang masih kecil itu.

Ketika dihubungi kemudian, Nik Ezanee berkata polis mendapat tahu lima sekeluarga itu sedang berdepan masalah kewangan. Suami suspek bekerja sebagai juruteknik lif, tetapi pendapatannya terjejas teruk gara-gara perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kalau lapar, kita (orang dewasa) boleh tahan lagi. Kalau anak-anak kita lapar, itu perkara lain,” katanya.

Kata Nik Ezanee, dia sudah menasihatkan wanita itu agar tidak melakukan jenayah lagi, dan meminta wanita itu meminta bantuan daripada pusat zakat terdekat atau daripada masjid.

Malah, katanya, jika keluarga itu berdepan dengan situasi terdesak, dia mengalu-alukan mereka datang ke balai polis.

The post Polis sampaikan derma pada ibu mencuri kerana anak lapar, sakit first appeared on Wowberita.

via Wowberita

Post a Comment

0 Comments