Matsuyama sertai golf CIMB Classic

KUALA LUMPUR: Pemain nombor tiga dunia, Hideki Matsuyama dari Jepun bakal membuat penampilan di CIMB Classic minggu depan, sekali gus memastikan dua daripada kelompok lima pemain golf utama dalam ranking rasmi bertarung dalam kejohanan Jelajah PGA bernilai US$7 juta (RM29.63 juta) itu.

Dengan juara bertahan dua kali yang juga pemain nombor empat dunia dari Amerika Syarikat, Justin Thomas sudah pun mengesahkan penyertaan sebelum ini, penampilan kelima berturut-turut Matsuyama dalam satu-satunya Jelajah PGA di rantau Asia Tenggara ini, pastinya menarik perhatian peminat golf di venue TPC Kuala Lumpur pada 12 hingga 15 Oktober ini.

Matsuyama, 25, sudah pun menempa nama dalam senarai pemain ternama di peringkat global di mana dia pernah meraih enam kemenangan sejak 12 bulan lalu termasuk dua gelaran di Kejohanan Golf Dunia.

Matsuyama membuat kemunculan pertamanya di CIMB Classic pada 2013 menerusi jemputan penganjur dan hampir memenangi kejohanan ketika dia terikat pada 2015 dan muncul naib juara di belakang Thomas, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata:

"Kami teruja untuk menyambut kedatangan Hideki Matsuyama kembali ke CIMB Classic.

"Sejak menyertai kejohanan ini menerusi jemputan penaja pada 2013, karier Hideki semakin menyerlah dengan meraih beberapa kemenangan dalam Jelajah PGA selain kejohanan di Jepun sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Peminat golf juga akan menyaksikan aksi pemain bertaraf dunia apatah lagi Hideki mempunyai trek rekod yang menakjubkan di TPC Kuala Lumpur," katanya.

"Sudah tentu ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan untuk melihat sama ada dia mampu menghalang Thomas daripada meraih gelaran ketiga berturut-turut di CIMB Classic,".



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments