Bintang Inter Milan terpaksa dibedah

MILAN: Pemain Itali yang bersama kelab Inter Milan, Nicolo Barella dijadual menjalani pembedahan di bahagian lutut kanan.

Barella mengalami kecederaan berkenaan pada minit-minit terakhir babak pertama perlawanan menentang Torino yang menyaksikan pasukan mencatat kemenangan 3-0.

"Keputusan menunjukkan kerosakan di bahagian tulang di lututnya," kata kenyataan dikeluarkan kelab berkenaan terhadap pemain tengah berusia 22 tahun itu.

"Barella akan menjalani pembedahan 'arthroscopic' bagi mengeluarkan serpihan yang ada."

Khabar ini memberi tamparan buat jurulatih Antonio Conte yang pasukan kendaliannya sedang memburu gelaran Serie A dengan hanya tercicir satu mata dibelakang juara, Juventus.

"Dia seorang pejuang, pemain penting buat kami," kata Conte.

Seperti laporan media di Itali, bekas pemain Cagliari itu yang menjaringkan dua gol musim ini termasuk satu jaringan dalam Liga Juara-Juara mungkin diketepikan selama sebulan.

Dia akan terlepas perlawanan penting Liga Juara-Juara minggu depan menentang Slavia Prague dan Barcelona di laman sendiri pada 10 Disember ini.

Barella juga menjadi pemain tonggak buat Azzurri tatkala pasukan sedang bersiap sedia bagi kejohanan Euro 2020.

Barella mempunyai 12 kap sejak membuat kemunculan pertama pada Oktober 2018 di bawah pengendali Roberto Mancini dan menjaringkan tiga gol.

- AFP



Sumber : Bintang Inter Milan terpaksa dibedah

Post a Comment

0 Comments