
LONDON: Pembangkang utama Britain, Parti Buruh berjanji memberikan lebih tiga juta wanita pampasan atas kerugian bayaran pencen kerajaan selama bertahun-tahun, apabila had umur persaraan mereka dinaikkan, jika ia menang pilihan raya 12 Disember depan.
Ketua dasar kewangan Buruh, John McDonnell berkata, bayaran itu sehingga 31,000 pound (RM165,962) dengan purata bayaran sebanyak 15,000 pound (RM80,304) yang akan dibuat kepada wanita yang menunggu persaraan pada usia 60 tahun tetapi diarahkan menunggu lebih lama.
Parti Buruh berkata, kos cadangan itu dianggarkan bernilai 58 bilion pound (RM310 bilion) sebelum cukai, namun ia mungkin dibayar secara ansuran.
“Kerajaan Buruh akan memberi pampasan kepada wanita yang terjejas secara tidak adil dengan kenaikan umur persaraan dan menghormati mereka secara sepatutnya.
“Golongan berkuasa dan kaya mahu kamu percaya bahawa perubahan sebenar mustahil dan tidak realistik. Namun, ia boleh dilakukan dengan Buruh.
“Buruh bukan bersama bilionaire atau ahli perbankan, kami bersama rakyat,” kata ketua Parti Buruh, Jeremy Corbyn.
Tindakan itu adalah sebahagian dasar perbelanjaan pemurah Parti Buruh, namun tidak dinyatakan kosnya dalam manifesto. - Reuters
Sumber : Manifesto pemurah pembangkang Britain, elak Brexit
0 Comments