
GOMBAK: Bertubuh kerdil dengan ketinggian hanya 123 sentimeter tidak menjadi halangan kepada graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menggenggam segulung ijazah.
Fakrah Nubailah Zulkifli, 24, seorang daripada empat graduan orang kurang upaya (OKU) membuktikan kecacatan fizikal tidak menghalang mereka untuk berjaya dalam pelajaran pada Majlis Konvokesyen Ke-35 UIAM sidang ketiga di sini, hari ini.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan itu menyifatkan kekurangan diri tidak pernah melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadikan itu sebagai motivasi untuk membuktikan beliau boleh berjaya seperti insan normal lain.
Anak bongsu daripada lima beradik itu menanam keyakinan tiada alasan untuknya tidak berjaya dalam pendidikan disebabkan kekurangan diri.
“Pensyarah dan rakan memahami keadaan saya dan sentiasa menyokong serta memberi bantuan sama ada di kuliah atau di kolej.
“Ibu bapa menjadi inspirasi kepada kejayaan saya kerana mereka sentiasa menyediakan kemudahan yang saya perlukan,” katanya ketika ditemui BH di sini.
Beliau berharap tiada diskriminasi berlaku di sekolah mahupun di universiti kepada golongan OKU supaya mereka dapat dibantu, sekali gus tidak tertinggal dalam pendidikan.
Tahun ini, seramai 4,317 graduan akan menerima skrol ijazah sarjana muda, manakala seramai 1,128 graduan pula menerima sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian masing-masing membabitkan 17 kulliyyah (fakulti).
Sempena majlis konvokesyen itu, anugerah kecemerlangan utama akan disampaikan kepada graduan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor, termasuk Anugerah Khas untuk graduan orang kelainan upaya (OKU).
Sementara itu, seorang graduan UIAM hanya dapat membuat dedikasi ijazah yang diterima untuk arwah ibunya yang meninggal dunia tiga hari sebelum konvokesyen.
Khatijah Nur Ain Azman, anak ketiga dari empat beradik ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi).
Arwah ibu beliau, Azizah Razali meninggal dunia Khamis lalu selepas terjatuh di bilik mandi rumahnya di Tanjung Karang, Selangor.
“Arwah emak terjatuh di bilik air dan cuba merangkak keluar untuk mendapatkan bantuan. “Adik bongsu saya yang berada dalam bilik sempat membantu arwah emak,” katanya.
Bagaimanapun, ibunya tidak sedarkan diri ketika dihantar ke Hospital Tanjung Karang sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh selepas pembuluh darahnya pecah sebelum meninggal dunia jam 1.30 pagi akibat komplikasi darah tinggi.
Pusat Pembangunan Keusahawanan (EDC) dan Majlis Perwakilan Pelajar UIAM turut menganjurkan Pesta Konvo (I-Congrats) bermula Jumaat lalu hingga Khamis ini.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang enam hari penganjuran I-Congrats terbabit seperti jualan makanan, cenderahati, pakaian, pameran, forum perdana dan persembahan artis.
Sumber : Kekurangan diri bukan halangan miliki ijazah
0 Comments