KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kini berada dalam kelas tersendiri apabila menang Anugerah Emas dalam empat kategori berbeza pada Malam Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) di sini, malam tadi.
Empat anugerah emas yang dimenangi termasuk bagi kategori Teknologi, Jenama Korporat Terbaik, Pengguna Digital Terbaik dan Anugerah Komunikasi Pekerja Terbaik selain menang dua anugerah perak bagi kategori sektor awam serta penggunaan digital.
Ketua Korporat, Komuniti dan Pembabitan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid, berkata beliau tidak menyangka akan meraih kejayaan besar kerana baru pertama kali menyertai anugerah anjuran PRCA Malaysia.
“Saya amat bangga dengan pasukan saya kerana ini adalah pertama kali PLUS menyertai Anugerah Perhubungan Awam (PR) biarpun kami sudah bertapak di Malaysia lebih 30 tahun.
“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak dalam PLUS termasuk bahagian komersial, kesihatan dan keselamatan dengan menghantar lapan penyertaan dan Alhamdulillah tanpa disangka kita menang enam daripadanya termasuk empat emas dan dua perak.

Ketua Korporat, Komuniti dan Pembabitan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid bersama unit Perhubungan Awam PLUS menerima 4 Anugerah Emas, 2 Anugerah Perak dan 2 Anugerah Gangsa pada malam Anugerah Perhubungan Awam Malaysia (MPRA) 2019. - Foto Zunnur Al Shafiq
“Insya Allah kita akan terus berusaha dan bekerja keras untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian PLUS bukan kerana ingin memenangi anugerah semata-mata,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah yang disampaikan Presiden PRCA Malaysia, Andy See Teong Leng, di sini sebentar tadi
Tambah Syed Mohammed, kemenangan itu juga adalah hasil bimbingan dan sokongan padu diberikan oleh pengurusan PLUS terutama Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail.
Pada majlis yang sama, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dipilih sebagai pemenang anugerah emas bagi kategori Kempen Sepanjang Tahun (Campaign of The Year) dan Pengurusan Isu atau Krisis Pengurusan Terbaik 2019.
Turut diumumkan sebagai pemenang anugerah emas ialah Kumpulan AirAsia Berhad bagi kategori Penjenamaan Korporat Terbaik dan stesen televisyen Astro Awani bagi kategori, Anugerah Khas Kepimpinan PRCA Malaysia.
Sumber : PLUS bolot 4 anugerah emas MPRA 2019
0 Comments