
LONDON: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp resah menanti perkembangan kecergasan penyerang bintangnya, Mohamed Salah ketika pendahulu Liga Perdana itu bersedia membuat kunjungan ke Crystal Palace, esok.
Penyerang Mesir, Salah bergelut dengan kecederaan pergelangan kaki selepas menerima terjahan keras pemain Leicester City, Hamza Choudhury ketika kemenangan 2-1 Liverpool, awal bulan lalu.
Situasi itu menyebabkan Salah diketepikan bagi perlawanan Mesir menentang Kenya dan Comoros bagi kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika dan dilihat memakai pelindung khas di buku lali kirinya, minggu lalu.
“Semalam dia menjalani latihan. Dia sudah berlatih perkara yang saya mahu dia lakukan. Ia bukan disebabkan ia menjadi lebih teruk, tetapi hanya ia (kecederaan) masih ada,” kata Klopp. “Kami perlu menjadi bijak. Saya perlu melihat sesi pada hari ini sebelum membuat keputusan.”
Mengulas perkembangan lain, Kloop berkata tonggak pertahanannya, Virgil van Dijk boleh diturunkan bermain sekali pun dia tidak disenaraikan Belanda dalam skuad kebangsaan ketika perlawanan menentang Estonia, pertengahan minggu lalu.
Begitupun, pengendali dari Jerman itu berkata dia belum membuat penilaian kecergasan terhadap pemain utamanya yang lain selepas selesai rehat antarabangsa.
"Virgil 100 peratus boleh disenaraikan. Tetapi saya tidak boleh berkata 100 peratus terhadap pemain lain,” katanya. - REUTERS
Sumber : Salah buat Klopp 'berpeluh'
0 Comments