Wall Street ditutup rekod tertinggi

NEW YORK: Setiap tiga indeks utama Wall Street ditutup pada rekod tertinggi.

Ia berikutan tanda-tanda menunjukkan kemajuan antara Amerika Syarikat (AS) dan China dalam gencatan perdagangan, sementara berita penggabungan turut melonjakkan sentimen.

Tabloid disokong kerajaan China berkata, Beijing dan Washington "semakin hampir mencapai kesepakatan" perjanjian awal, yang mana ini melonjakkan saham semikonduktor yang sensitif perdagangan, termasuk Applied Materials Inc yang menokok 4.18 peratus, dan Lam Research Corp yang naik 2.68 peratus.

Indeks Philadelphia Semiconductor melonjak 2.43 peratus dan bergerak pantas untuk mencatat kenaikan harian terbaik dalam tempoh tiga minggu.

Laporan itu muncul selepas komentar hujung minggu oleh pegawai tinggi AS bahawa perjanjian masih dapat dilakukan menjelang akhir tahun ini, sekali gus yang meredakan kebimbangan rundingan akan berlanjutan ke 2020.

Dow Jones Industrial Average menokok 189.77 mata atau 0.68 peratus kepada 28,065.39.

S&P 500 menambah 23.29 mata atau 0.75 peratus kepada 3,133.58.

Nasdaq Composite naik 112.60 mata atau 1.32 peratus kepada 8,632.49.

Apple Inc menokok 1.75 peratus dengan mendapat rangsangan daripada kenaikan S&P dan Nasdaq.

Tiffany & Co melonjak 6.20 peratus dan muncul kaunter yang mencatat kenaikan terbesar pada S&P 500 kerana syarikat barang kemas mewah itu bersetuju diambil alih LVMH dari Perancis membabitkan pertimbangan tunai yang dipertingkatkan kepada AS$16.2 bilion.

EBay Inc naik 2.08 peratus selepas syarikat e-dagang itu mengatakan ia akan menjual unit jualan tiket StubHub kepada Viagogo membabitkan pertimbangan tunai AS$4.05 bilion.

Sejumlah 6.55 bilion saham bertukar tangan berbanding 7.03 bilion purata 20 hari dagangan sebelumnya. - Reuters



Sumber : Wall Street ditutup rekod tertinggi

Post a Comment

0 Comments