Azah gelabah IG kena godam

KUALA LUMPUR: Kali pertama akaun media sosial digodam, pelakon popular era 1990-an, Azah Aziz mengaku menggigil malah terasa bagai jantung hendak luruh.

Ibu tiga anak yang menetap di Montreal, Kanada ini mendakwa menjadi salah seorang mangsa yang terkena tempias susulan akaun Instagram (IG) stesen radio Suria FM yang diikutinya, digodam, awal bulan ini.

Pelbagai usaha dilakukan isteri kepada Daud Leroy ini untuk mendapatkan semula akaun terbabit.

Akhirnya, dengan bantuan adik ipar, akaun berkenaan ditemui, semalam.

Azah berkata, adik ipar yang bekerja dengan Facebook (FB), menggunakan kepakaran mendapatkan semula semula akaun terbabit.

"Akaun media sosial seperti IG dan Facebook inilah yang menjadi penghubung saya dengan keluarga, teman dan peminat di Malaysia.

"Tidak keruan apabila akaun IG saya digodam buat kali pertama. Menggigil seluruh badan, saya pula ada tekanan darah tinggi," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Cinta Korporat itu berkata, penggodam terbabit cukup licik.

"Saya dapat tahu penggodam ini berasal dari sebuah negara. Banyak kali dia godam akaun saya dengan cubaan menukar pelbagai nama.

"Malah, dia 'unfollow' semua akaun yang saya ikuti. Lucunya, dia mengikut enam akaun yang berasal dari negaranya. Tidak cukup itu, foto pun dipadamkannya.

Menetap hampir 20 tahun di Kanada, Azah kerap berkongsi perkembangan suami dan anak-anak buat tatapan keluarga dan pengikutnya di media sosial. Foto IG Azah Aziz
Menetap hampir 20 tahun di Kanada, Azah kerap berkongsi perkembangan suami dan anak-anak buat tatapan keluarga dan pengikutnya di media sosial. Foto IG Azah Aziz

"Mujur segala muat naik, foto dan video di IG saya kongsi di FB. Orang ini hampir menggodam akaun FB saya, tapi mujur saya cepat menukar kata laluan," katanya.

Azah mendakwa, penggodam terbabit menghantar WhatsApp konon hendak memulangkan semula akaun berkenaan.

"Semua itu hanya cubaan jahatnya. Dia turut menggunakan akses akaun saya untuk menggodam orang lain pula," katanya.

Pengalaman digodam membuatkan Azah lebih berhati hati.

"Kalau ada apa-apa pautan, janganlah 'klik' tanpa usul periksa. Lebih baik, tukarlah kata laluan setiap bulan.

"Selain itu, pastikan kata laluan di semua akaun media sosial adalah berbeza," katanya.

Azah dan suami bersama tiga anak mereka, Aaron, Ryan dan Justin, sudah hampir 20 tahun menetap di Kanada.



Sumber : Azah gelabah IG kena godam

Post a Comment

0 Comments