
PUTRAJAYA: Sebanyak 143 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 sebanyak 7,311 kes atau 86.57 peratus daripada keseluruhan kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi kes baharu pula sebanyak 43 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini.
Katanya, dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,445 kes dengan jumlah kebolehjangkitan sebanyak 1,014 kes.
Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah kes baharu itu sebanyak lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu membabitkan empat individu warganegara dan seorang bukan warganegara tetapi pemastautin tetap.
"Bagi kes jangkitan dalam negara pula, sebanyak 23 kes dilaporkan dan kesemua kes dalam kalangan bukan warganegara.
"Sebanyak 21 kes dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan sudah dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Masing-masing satu kes daripada saringan di Pasar Pemborong sayur oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah serta kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian disebabkan COVID-19 menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 120 kes.
Sumber : COVID-19: 143 kes sembuh, 43 kes baharu
0 Comments