Penunggang hantar produk pertanian, perikanan dari luar bandar

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan aplikasi 'rider' atau penunggang penghantar barangan mirip Grab Food dan foodpanda bagi memudahkan produk pertanian serta perikanan terutama dari luar bandar, diedar kepada pengguna dan pusat jualan.

Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pihaknya tidak berniat menyaingi dua syarikat penghantar makanan itu sebaliknya bertujuan melengkapi sistem penghantaran barangan selaras perkembangan perniagaan cara baharu.

Katanya, SME Corp Malaysia iaitu agensi di bawah MEDAC, akan membangunkan aplikasi itu yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

"Kita merancang membentuk pasukan 'rider' sendiri supaya produk pertanian dan perikanan dapat dihantar dengan cepat kepada pelanggan dan pusat jualan.

"Sekarang memang ada individu bertindak sebagai penghantar produk pertanian tetapi kita mahu meningkatkan perkhidmatan dengan memanfaatkan teknologi seperti Grab Food dan Foodpanda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama ketua-ketua agensi di bawah MEDAC di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, jika Grab Food dan foodpanda menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan, penunggang diwujudkan MEDAC pula akan menghantar apa sahaja produk pertanian dan perikanan termasuk makanan.

Beliau berkata, satu lagi agensi MEDAC iaitu Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional akan menyediakan pembiayaan kepada 'rider' membeli kenderaan untuk menyertai perkhidmatan itu kelak.

Sementara itu, beliau berkata Bank Rakyat akan menyediakan perkhidmatan bank bergerak di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan bank di luar bandar Sarawak.

"Bank Rakyat membuat kajian dan penelitian kawasan untuk diadakan perkhidmatan itu berlandaskan cadangan Pengarah Bank Negara cawangan Sarawak.

"Kerajaan Sarawak membantu menampung pembiayaan untuk mendapatkan bas bagi kegunaan Bank Rakyat menyediakan perkhidmatan bank bergerak itu," katanya.

Beliau memaklumkan, TEKUN Nasional membiayai 28, 664 usahawan dengan peruntukan berjumlah RM423.6 juta tahun lalu.

"Dalam tempoh Januari hingga 10 Jun tahun ini, TEKUN Nasional membiayai seramai 27,644 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM257.9 juta.

"Daripada jumlah itu, sejumlah 6,572 individu dengan nilai RM95.7 juta adalah pinjaman TEKUN biasa manakala skim Pemulihan Perniagaan Mikro COVID-19 (CBRM) membabitkan 21,072 usahawan dengan nilai pembiayaan RM162.9 juta," katanya.



Sumber : Penunggang hantar produk pertanian, perikanan dari luar bandar

Post a Comment

0 Comments