Kes dokumentari: PDRM rakam keterangan beberapa individu

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakam keterangan beberapa individu ketika menjalankan pemeriksaan mengejut di tiga pejabat agensi media, termasuk Al Jazeera, di sini, hari ini.

Serbuan itu dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung penerbitan dokumentari berjudul 'Locked Up in Malaysia's Lockdown'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata selain Al-Jazeera, PDRM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyerbu pejabat Astro serta unifi TV.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dijalankan selepas pihaknya menerima waran geledah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan Sepang.

"Tindakan geledah ini dilakukan bersama SKMM yang turut membuka kertas siasatan ke atas stesen penyiaran terbabit.

"Serbuan berkenaan membolehkan polis merampas beberapa barangan, termasuk komputer yang kemudian diserahkan kepada SKMM untuk analisis lanjut.

"Dapatan siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir menegaskan, tindakan dan pemeriksaan itu dibuat mengikut peruntukan undang-undang.

"Tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada tindakan jika jelas mencabuli undang-undang di negara ini," katanya.



Sumber : Kes dokumentari: PDRM rakam keterangan beberapa individu

Post a Comment

0 Comments