Dr Noor Hisham tertekan isu Covid-19 sampai tak tidur malam

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengakui dirinya berdepan tekanan tinggi sehingga kadangkala tidak dapat tidur malam memikirkan pelbagai aktiviti untuk menyelesai masalah Covid-19.

Noor Hisham berkata, jika dilihat memang ada isu kelesuan mental dan fizikal dalam kalangan petugas kesihatan di lapangan malah di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengalaminya kerana kini berperang berterusan tanpa henti sejak 10 bulan lalu tanpa cuti.

Menurutnya, setiap hari perlu ada mesyuarat dan tindakan dalam menjalankan tugas sehingga mungkin ada yang terkesan sehingga mengalami tekanan tinggi termasuk dirinya sendiri.

“Ketua Pengarah Kesihatan juga mengalami tekanan tinggi, kadangkala malam tidak boleh tidur sebab memikirkan pelbagai aktiviti bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini.

“Setakat ini kita masih boleh bertahan dan pagi ini saya ada membuat sidang video dengan pakar di Sabah dan melihat kepada isu-isu serta permasalahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan ada dalam kalangan petugas kesihatan menghadapi tekanan mental sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti akibat berperang dengan Covid-19.

Katanya, sekiranya ada sebarang masalah langkah menyelesaikannya boleh diambil namun setakat ini rata-rata mereka masih bersemangat tinggi untuk bertugas.

“Mungkin kena guna kaedah penggiliran cara kerja dan beri masa kepada petugas kesihatan untuk rehat dan ini satu cabaran amat tinggi kepada kita yang dalam peperangan kerana peperangan ini tidak kenal musuh.

“Apa yang perlu kita laksanakan sekarang ini adalah pertingkatkan aktiviti untuk kurangkan nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) kurang daripada satu supaya dapat landaikan semula kes Covid-19,” katanya.

Katanya, mungkin dalam tempuh dua minggu lagi akan dapat kurangkan R0 bawah daripada satu dan dapat landaikannya namun memerlukan kerjasama daripada semua pihak bukan sahaja di KKM dan kerajaan.

The post Dr Noor Hisham tertekan isu Covid-19 sampai tak tidur malam first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments