Nama Tok Mat Dan Ismail Sabri Paling Disebut-Sebut Untuk Jawatan TPM. Sekali Ini Keputusan Mesyuarat

Beberapa jam sebelum Umno bermesyuarat malam tadi, ramai membayangkan ia bertujuan bagi membincangkan calon Timbalan Perdana Menteri.

Menurut sumber parti itu, tiga nama menjadi sebutan untuk dicalonkan bagi jawatan itu iaitu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

” Ya, malam ini (malam tadi) dijangka mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno akan bersidang berhubung perkara itu

” Pucuk pimpinan Umno akan bermesyuarat bagi menentukan nama calon yang akan dihantar, dan juga syarat-syarat yang akan dikemukakan kepada Muhyiddin,” katanya ketika dihubungi.

Spekulasi mengenai calon timbalan perdana menteri dari Umno bertiup kencang semalam apabila Putrajaya dikatakan sedang menunggu nama yang akan diserahkan parti itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Mohamad, Ismail dan Hishammuddin.

Untuk rekod, Mohamad bukan anggota parlimen dan perlu mengangkat sumpah sebagai senator terlebih dahulu sebelum boleh dilantik sebagai TPM.

Sebuah portal turut mengaitkan nama Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebagai calon bagi mengisi jawatan itu.

Jawatan timbalan perdana menteri antara yang disuarakan pemimpin Umno sebagai syarat bagi parti itu untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Akhbar Sin Chew Daily baru-baru ini melaporkan bahawa Muhyiddin bersedia melantik wakil Umno bagi jawatan berkenaan selain presidennya, Ahmad Zahid Hamidi yang kini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Nama Hishammuddin tipis, tapi nama Mohamad dan Ismail jadi sebutan

Sementara itu, sumber memaklumkan nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan.

” Nama Hishammuddin agak tipis untuk dicalonkan kerana ia mungkin tidak disenangi oleh ramai pemimpin Umno.

” Nama yang akan dipertimbangkan ialah Mohamad dan Ismail, untuk mewakili Umno bagi jawatan berkenaan,” katanya lagi.

Hishammuddin dalam catatan di Facebook hari ini menafikan terdapat usaha daripada pihaknya untuk dilantik ke jawatan nombor dua dalam kerajaan.

” Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengadakan usaha ke arah perkara tersebut.

” Malah saya berterima kasih kepada parti kerana menyokong saya mewakili Umno sebagai menteri dalam kerajaan hari ini,” katanya.

Keputusan dicapai, jawatan TPM tidak dibincangkan.

Bagaimanapun sebaik selesai mesyuarat malam tadi, keputusan dicapai tidak seperti yang diharapkan orang ramai.

Ia susulan Majlis Tertinggi UMNO tidak membincangkan tentang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan menegaskan semua ahli Kabinet mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Umno turut memutuskan bahawa pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan selepas wabak COVlD-19 berada di “peringkat minimum”.

” Semua anggota Kabinet yang mewakili Umno terus kekal dalam Kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

” Umno memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah pandemik COVlD-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum,” kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat di PWTC itu dipercayai bermula kira-kira pukul 9.30 malam dan berakhir 12.30 tengah malam.

Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan pula tidak kelihatan selepas mesyuarat berakhir, dipercayai keluar menggunakan laluan lain.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments