Siapa tidak kenal dengan figura hebat ini yang sememangnya cukup sederhana orangnya.
Tidak pernah sekali dirinya melatah apatah lagi memberi jawapan sinis tatkala ditanya soalan panas. Dia seolah kebal namun tidak lokek manis senyuman.
Pastinya di tangga usia lebih dua dekad bergelar nakhoda bahtera seninya, bergentayangan pengalaman menjadi peta panduan.
Pelbagai kontroversi, pahit difitnah dan bermacam lagi ujian sudah ditempuh mematangkannya.
Diaju soal rezeki anak, mungkin bagi figura seni lain, itu cukup pahit untuk ditelan hidup. Namun, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetap membalas dengan lirik mata mengukir senyumannya.
Sementelah, ramai yang mula berspekulasi tentang kehamilannya. Ada yang sudah seperti duduk serumah mengiyakan desas desus itu.
Siti Aafiyah cium perut jer, kecoh satu Malaysia dikatakan hamiI
Ada juga mula menjadi Detektif Conan, merungkai satu persatu bayangan yang ada.
Mana tidaknya, hanya kerana puteri sulungnya, Siti Aafiyah mencium perutnya berulang kali tatakala bersama dalam sesi live penyanyi bersuara emas ini, kecoh terus media sosial.
Rata-rata seperti meraikan berita kemenangan yang ditunggu lama.
Namun suri hati Malaysia ini mahu peminat terus mendoakan usahanya untuk mendapatkan cahaya mata keduanya.
Malah dia sendiri tidak pernah berselindung berhubung soal rezeki anak.
” Mengenai prosedur IVF juga saya kongsikan sebelum berehat dahulu.
” Sesiapa yang mengetahui bagaimana proses dan perjalanannya, mereka akan memahami kenapa saya pinta untuk berehat.
” Semuanya ada prosedur dan saya menjalaninya dan berusaha apa yang terbaik. Saya kira diri perlu diberikan masa.
” Saya sendiri sudah memberitahu media dan peminat bahawa perlu berehat sebelum ini,” kata penyanyi yang sudah memiliki 19 album ini.
Tidak tersinggung apatah lagi berkecil hati tatkala soalan tentang kehamilan diulang tanya, jelas penyanyi lagu berhantu Cindai ini, apa yang dia dambakan kini adalah doa ikhlas daripada peminat tersayang.
” Saya tidak pernah berselindung tentang saya mahu berehat dan berusaha untuk mendapatkan zuriat.
” Tentunya saya meminta masa untuk semua ini. Justeru, saya hanya mohon para peminat mendoakan apa yang terbaik,” kata isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini.
Bukan mudah bergelar seorang Siti Nurhaliza. Setiap gerak geri, tindak tanduk diperhatikan segenap manusia. Buruk baik sentiasa diperkatakan. Itu bayaran setimpal seorang anak seni.
Populariti itu bukan hadir bersama suka. Disulami duka, itu pastinya ada dalam setiap diari hidup anak seni berjaya. Begitu juga Siti Nurhaliza. Ada sahaja yang tidak suka, tidak berpuas hati.
Sering kali dikritik soal penampilannya, menerusi muzik video lagu baharu, Siapa Tak Mahu, Siti Nurhaliza seperti ‘membalas dendam’.
Menutup mulut-mulut nakal yang sering kali melabelnya sebagai mangsa fesyen.
Mana tidaknya, gaya penampilannya dipuji ramai. Malah, peminat sangat suka dengan kesegaran dan fesyen yang ditampilkan dalam muzik video tersebut.
Tidak hairan, hanya dalam seminggu, video itu sudah mendapat lebih 2.1 juta tontonan!
Sumber:utusan
via 1 MIN READ
0 Comments